Top

Twitter

26-11-2012 06:39

Juarai harapan golongan pertengahan

Satu daripada golongan pengundi penting ialah yang digelar “atas pagar” atau “belum buat keputusan”. Saya menamakannya “golongan pertengahan”.

Ini bukanlah kali pertama mereka wujud. Tetapi kali ini, mereka memainkan peranan paling signifikan dalam sejarah PRU, iaitu sebagai penentu kemenangan.

Menurut Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), mereka kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengundi, iaitu peratusan terbesar dalam sejarah. Majoriti daripada 70 peratus pengundi lain dijangka mengundi BN, tetapi, ia belum sampai 50 peratus. Ini bermakna sokongan golongan pertengahan amat mustahak, iaitu untuk memenangi jumlah kerusi mencukupi dan undi popular yang selesa.

Dahulu, mereka berseorangan tetapi kini, telah terbentuk identiti kolektif: pekerja berilmu/kreatif, berpendidikan tinggi, profesional, usahawan, kelas menengah, wanita, mahasiswa/belia dan aktivis masyarakat sosial. Telah wujud pemikiran bersama (cumulative thought). Maknanya, mereka telah membentuk gerakan tersendiri.

Mereka konstituen realiti-realiti baru yang mempengaruhi politik semasa, iaitu ICT dan media baru, gerakan sosial baru dan demokrasi fasa ketiga. ICT digunakan secara canggih untuk berkongsi dan beroperasi.

Hampir semua maklumat politik diperoleh daripada media baru. Menurut Shaharuddin Badaruddin, bagi pengundi muda, hanya 24 peratus diperoleh daripada TV dan 15 peratus daripada akhbar arus perdana.

Pemikiran dan kegiatannya meliputi nilai-nilai, isu-isu harian, tempatan dan antarabangsa, tidak konvensional, berterusan dan transnasional. Mereka mahukan perubahan. Mereka kritikal, tetapi tidak bermakna mereka pembangkang.

Mereka masih menerima isu-isu lazim, iaitu “pengharapan pembangunan”. Contohnya, infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan, pekerjaan dan kebajikan serta pemimpin mesra rakyat. Tetapi, mereka mula menilai pelaksanaannya. Lalu timbul soal-soal integriti, ketelusan, ketirisan, rasuah dan kesaksamaan.

Di samping itu, kini, mereka menekankan isu-isu baru, iaitu “pengharapan demokrasi”. Contohnya, hak mendapatkan maklumat, kebebasan (akademik, bersuara dan media), keadilan sosial, agihan kekayaan dan pengurusan kewangan, hak asasi manusia dan minoriti, kefahaman baru perhubungan kaum, konsep persekutuan, pilihan pelajar/ibu bapa, kesaksamaan gender, penghakupayaan mahasiswa/belia, alam sekitar, partisipasi membuat keputusan, sistem PRU lebih baik dan transformasi demokrasi. Mereka mahu pemimpin membawa budaya politik ke tahap lebih tinggi.

Pokoknya, pengharapan golongan pertengahan telah berubah. Justeru, Umno/BN perlu berubah. Selama ini, kita memiliki rekod cemerlang memenuhi pengharapan pembangunan. Tetapi, PRU12 menunjukkan kita belum menguasai pengharapan demokrasi yang menjadi lebih penting dalam PRU13. Jadi, kita perlu meningkatkan kewibawaan memenuhi pengharapan demokrasi.

Kita perlu lebih komited menjuarai pengharapan demokrasi. Kalau kita tidak menjuarainya, tetapi pihak lain melakukannya, maka, merekalah yang mendapat sokongan.

Ini memerlukan pendekatan sesuai. Pendekatan yang menjauhkan orang perlu dielakkan. Contohnya, kalau keterlaluan menyerang pembangkang, umpama menggunakan tukul besi, mereka tidak juga menyokong kita, manakala golongan pertengahan mungkin bersimpati dengannya.

Kalau keterlaluan pula menyerang golongan pertengahan; contohnya, masyarakat sivil, maka kesannya lebihlah negatif buat kita.

Sebaliknya, kita perlu menggunakan pendekatan politik hikmah, iaitu seperti saranan surah an-Nahl:125. Pertama, dengan bijaksana: belajar dari kesilapan lalu dan amalan baik orang lain, menawarkan produk politik baru dan inovasi demokrasi. Kedua, dengan pengajaran baik: rekod cemerlang, keberhasilan dinikmati rakyat dan teladan baik. Ketiga, berdebat dengan cara terbaik: tidak memperbodohkan orang, percaya pada rakyat, mendengar, berhujah, berunding, dan berkempen sistematik serta membidas cantik.

Ini bukan soal terlalu bertolak ansur, tidak ikut pasukan, mengikut rentak pembangkang atau gunting dalam lipatan. Ini soal membuat perkara yang betul.

Pengharapan demokrasi perkara betul. Datuk Seri Najib menjuarainya dengan transformasi politik. Seluruh Umno/BN perlu bergegas supaya sederap dengannya, agar sezaman, kalaupun tidak mendepani zaman. Kalau tidak, akan ketinggalan zaman.

Facebook

SARP TV

Buku

Lain-Lain

Sign in