Top

Twitter

13-05-2013 23:23

24 jam selepas PRU13

24 jam selepas tidak dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Temerloh dalam PRU13, saya mula bekerja seperti biasa.

Ia bermula dengan menjadi ahli panel “Malaysia Memilih” di TV Awani pada Isnin malam. Selepas itu, sepanjang minggu lalu, saya menyiapkan kerja-kerja kementerian yang tertangguh, merangka langkah seterusnya di Temerloh dan memenuhi undangan temu bual pelbagai akhbar dan TV tempatan dan antarabangsa.

Pada Khamis lalu, saya mengadakan sidang media di Temerloh dan mengumumkan tiga perkara untuk warga Temerloh.

Pertama, saya mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang keluar mengundi. Saya bangga kerana peratus keluar mengundi Temerloh (85.6 peratus) adalah yang tertinggi dalam sejarah, malahan mengatasi peratus kebangsaan (84 peratus).

Walaupun kalah, saya tidak terkilan atau menyalahkan sesiapa. Saya berlapang dada menerimanya dan menganggap pengundi telah membuat pilihan bijak. Sebelum ini, iaitu sebaik mendapat keputusan rasmi, saya telah menghantar pesanan ringkas tahniah kepada Nasrudin Tantawi yang diisytiharkan menang.

Kedua, saya mengundang Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) untuk membuat kajian tentang faktor-faktor kekalahan saya. Ia sebagai muhasabah, iaitu memahami kelemahan-kelemahan dan perkara-perkara yang perlu pembetulan dan penambahbaikan.

Dan ketiga, saya akan meneruskan bakti di Temerloh. Tetapi, kini, saya tidak dapat melaksanakan semua kandungan manifesto saya, iaitu “Enam Bidang Pembangunan Tumpuan”: pendidikan dan latihan, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, agama dan sosiobudaya, prasarana dan kemudahan awam serta partisipasi dan masyarakat sivil.

Bagaimanapun, sebahagian kecil daripadanya mampu saya laksanakan. Justeru, saya mengumumkan penubuhan Akademi Belia di Temerloh. Ia organisasi budaya ilmu untuk membangunkan dasar-dasar dan program-program. Orientasi utamanya ialah pendidikan dan latihan, penyelidikan dan penerbitan.

Antara bidang prioritinya ialah meneruskan matlamat “Temerloh nombor satu dalam pendidikan di Pahang” (termasuk meneruskan Program Kecemerlangan Bola Keranjang Sekolah-sekolah Temerloh dan debat), kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Semua ini terkandung dalam manifesto saya.

Seperti dijangka, PRU13 amat kompetitif. BN dipilih semula sebagai kerajaan Persekutuan, dapat mengekalkan negeri Perak dan mendapatkan semula negeri Kedah. Prestasi Umno jelas lebih baik daripada PRU12. Tetapi, undi popular kebangsaan berpihak kepada PR.

Terdapat beberapa faktor yang membawa keputusan yang sedemikian. Antaranya ialah pengundi-pengundi muda, bandar dan Cina.

Dalam konteks pengundi Cina, ada perbezaan antara menganalisis statistik keputusan PRU13 dengan menyalahkan mereka. Justeru, saya tidak bersetuju untuk menyalahkan pengundi Cina. Bukan semua Cina mengundi PR. Ada yang mengundi BN. Bagi yang mengundi PR, bukannya kerana anti-Melayu. Mereka punya pelbagai alasan lain, contohnya, mengajar MCA.

Fenomena majoriti Cina tidak menyebelahi BN ini pernah berlaku di kalangan Melayu dan India dalam PRU-PRU terdahulu. Kalau BN dapat menarik kembali sokongan mereka kali ini, maka, tentunya perkara yang sama dapat dilakukan dengan masyarakat Cina, dengan syarat kebijaksanaan mengatasi perasaan.

Saya melihat faktor lain. Sebenarnya, pengundi terbahagi kepada dua. Pertama, pengundi yang mempunyai “pengharapan pembangunan”, contohnya prasarana, kemudahan awam dan kebajikan. Dan kedua, pengundi yang mempunyai “pengharapan demokrasi”, contohnya kebebasan, hak asasi dan kesaksamaan.

Di kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya melihat pengharapan pembangunan adalah lebih penting, maka, di situ, BN menang. Manakala, di kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya melihat pengharapan demokrasi adalah lebih penting, maka, di situ, BN kalah.

Komposisi yang lebih mementingkan pengharapan pembangunan semakin mengecil, manakala komposisi pengharapan demokrasi semakin membesar. BN perlu meningkatkan kemampuannya menangani realiti baru ini. Cara utamanya ialah dengan melonjakkan Program Transformasi Nasional yang dipimpin Datuk Seri Mohd Najib.

 

Sumber

 

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in