Top

Twitter

14-05-2013 06:25

'Mereka undi saya kenal saya'

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi kawasan Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah mengejutkan banyak pihak apabila Gagal mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau dilihat sebagai antara pemimpin muda BN yang memperlihatkan sifat progresif, yang sesuai dengan kehendak dan keperluan landskap politik semasa.

Apa punca beliau gagal? Di mana kekurangan? Atau ada pihak yang harus dipersalahkan.

Bagi mencari jawapan, ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, NIZAM ZAIN bersama beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam mengupas lebih lanjut tentang faktor kekalahan dan haluan politik beliau setelah tidak lagi bergelar “Yang Berhormat”.

Apa hala tuju Datuk selepas tewas dan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh pada PRU13 Ahad lalu?

Saya akan terus dalam politik dan memperjuangkan politik baru, dalam masa terdekat, saya akan menggerakkan idea tentang naratif baru dan ini selaras  enggan apa yang disebut oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “National Reconciliation” (Pendamaian Kebangsaan).

Sebabnya ialah kita berkempen bertahun-tahun lamanya, justeru ada banyak luka oleh banyak pihak yang perlu diubati.

Keduanya kerana golongan pertengahan atau yang dipanggil atas pagar oleh sesetengah penyelidik dan jumlah mereka ini besar iaitu 30 peratus dan mereka telah bersuara pada hari pengundian dan itu antara sebab ‘swing’ yang berlaku ke arah mana sekalipun.

Suara mereka itu harus diterjemahkan dengan lebih menyuarakan supaya ia menjadi dasar, menjadi strategi dan program pembangunan negara. Itu langkah terdekat yang perlu dilakukan.

Dari segi politik, saya tetap bersama Umno dan Barisan Nasional, akan terus berbakti kepada parti dan juga kepada orang Temerloh.

Kalau Datuk diberi peluang untuk menjadi Senator, adakah Datuk akan menerima tawaran itu dan sekaligus boleh menggalas semula jawatan menteri?

Ini semua adalah kebijaksanaan perdana menteri. Sebagai orang parti, kita menjalankan apa saja tugas yang diberikan, tetapi jika saya dapat bertemu dengan beliau, antara yang ingin saya lontarkan ialah saya nak bekerja secara sukarela untuk memperkukuhkan BN.

Ada dua perkara BN perlu lakukan, pertama ialah mana-mana parti yang tidak mendapat keputusan yang baik dalam PRU13, harus memperbaiki diri terutamanya MCA dan saya seronok mendengar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyatakan secara terbuka akan memperbaharui parti.

Perkara yang mustahak ialah keahlian terus kepada BN. Perkara itu saya telah suarakan sebelum ini dan ia pernah disebut dalam BN tetapi sekarang saya lihat keperluannya lebih mendesak.

Sebelum ini pun saya ada sebut, selepas PRU13 kita perlu melaksanakan cadangan itu, saya fikir satu perkara yang saya ingin laksanakan dengan membenarkan sesiapa sahaja menjadi ahli secara terus kepada BN. Ia mustahak atas dua sebab.
 
Pertama kerana ada orang terutama golongan muda yang berminat dengan BN tetapi mereka tak selesa untuk menganggotai mana-mana parti komponen BN atas sebab-sebab tertentu.

Kedua, kalau kita percaya kepada 1Malaysia secara sepenuhnya, maka parti kerajaan yang membawa gagasan 1Malaysia juga harus menunjukkan kemampuannya untuk menampung ahli-ahli parti yang ingin sebegitu.

Faktor pertamanya disebabkan ramai anak muda merasa dirinya adalah orang Malaysia, keduanya barulah kepada kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya. Mereka mahukan satu platform untuk beroperasi dan berperanan, saya fikir sebab itu keahlian terus kepada BN itu wajar diketengahkan dengan cara yang lebih serius.

Adakah keahlian terus BN yang Datuk maksudkan itu seperti kelab penyokong BN seperti sedia ada sekarang?

Sekarang kita sudah ada ‘rakan BN’ tapi saya fikir itu tidak cukup, mereka ingin jadi ahli BN, mereka membawa kad sebagai ahli BN.

Segala susunannya haruslah difikirkanlah, maknanya parti-parti komponen boleh terus beroperasi seperti biasa, tiada masalah, saya pun akan kekal dalam Umno, tak terfikir nak keluar dan sebagainya, tetapi ada orang seperti anak saya, atau orang muda yang lain, mereka tak nak jadi ahli Umno, mereka nak jadi ahli BN.

Adakah disebabkan faktor parti komponen dalam BN itu sendiri bersifat perkauman menyebabkan orang muda sekarang mengelak daripada menyertai sesuatu parti? Sejauh mana ia mempunyai asasnya?

Ada dua faktor, satunya memang ramai anak muda yang merasakan kebanyakan parti komponen dalam BN itu berasaskan kaum, tanggapan itu memang betul, saya tak nafikannya, namun mereka faham kita tidak cauvinis dan rasis tetapi mereka mengatakan parti kita itu model merdeka.

Mereka kata kini sudah abad ke-21, model itu harus diubah dan mereka tak tolak model lama itu cuma mereka mengatakan tidak mahu jadi ahli dalam model itu, kita nak model baru malah mereka menyatakan bersedia menjadi ahli BN.

Keduanya, bayangkan dalam suasana BN berhadapan dengan Pas yang boleh letak calon bukan Islam, DAP boleh meletakkan calon Melayu, dan calon Melayu DAP boleh menang sebagai contoh, apa pilihan BN perlu menunjukkan yang ia lebih terbuka, kalau tidak ini akan menimbulkan banyak kesedaran dalam PRU14 dan selanjutnya.

Bagi MCA saya fikir ia boleh kembali sebagai mana MIC yang dianggap begitu teruk dipukul dalam PRU12, tapi ia berjaya mendapatkan kembali sokongan masyarakat India.

Saya juga yakin MCA boleh berbuat demikian, tetapi yang saya katakan ahli terus kepada BN ialah jika ada mana-mana parti kecil dalam BN yang ahli-ahlinya rasa sangat kecil, rendah diri dan tak begitu berjaya, ke mana dia nak pergi, mungkin dia nak jadi ahli terus kepada BN.

Lebih mustahak lagi bagi golongan muda yang belum menjadi ahli mana-mana parti, itu lebih kita utamakan. Saya rasa masa pelaksanaannya itu akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi BN, tapi saya akan mengetengahkan idea ini, ia bukan idea baru sebab ia pernah dibincangkan sebelum ini dan selangkah itu sudah mula iaitu ‘rakan BN’.

Saya cuba menghidupkan semula idea keahlian terus BN ini.

Kelebihan keahlian terus ini akan memberi wajah baru kepada BN. Saya yakin ia boleh membawa masuk ahli-ahli baru iaitu mereka yang tak nak jadi ahli Umno, MCA dan MIC, tapi kalau ahli BN mereka kata ‘OK’. Dalam mana-mana parti pun isu kaum itu wujud tetapi ia mungkin boleh memperbaiki imej BN.

Datuk sebelum ini dilaporkan media tidak bersetuju dengan istilah penolakan masyarakat Cina terhadap BN dengan mengatakan ‘tsunami Cina’. Adakah ia menggambarkan bahawa PM tidak boleh menerima penolakan itu atau sebagai alasan supaya kepimpinan Umno-BN menolak beliau sebagai PM dan beri laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yaasin?

Di tempat-tempat yang calon BN tidak berjaya menang, faktornya ada banyak... ia bergantung kepada tempat, kawasan dan sebagainya. Untuk melihat statistik pada saya itu penting. Melihat kenapa kalah itu penting, dan ada kalanya di situ ada faktor kaum misalnya faktor Cina dan sebagainya.

Itu bukan satu kesilapan, sebab kita menganalisis fakta, kita melihat statistik pilihan raya. Perkara itu lazim, mana-mana penyelidik di mana-mana tempat pun akan melakukan tindakan itu. Tetapi ada beza antara menganalisis statistik keputusan dengan menyalahkan pengundi.

Saya tidak bersetuju apabila ada pihak menyalahkan pengundi! Saya kalah, saya melihat statistik itu, saya tahu, misalnya saya menang di kebanyakan peti undi yang majoriti pengundinya adalah Melayu. Saya pula kalah di hampir semua peti undi yang majoriti pengundinya Cina dan itu menyebabkan saya kalah. Saya tak salahkan orang Cina, sebab di mana-mana pun di Temerloh, ada orang Melayu yang tak mengundi saya, dan di mana-mana pun di Temerloh ada orang Cina yang mengundi saya.

Di Temerloh, kompleksnya adalah wujud sebahagian pengundi yang melihat pilihan raya berdasarkan pandangan alam yang saya namakan sebagai ‘harapan pembangunan’.

Pengundi mengukur saya dan BN berdasarkan jalan kampung, balai raya, bangunan sekolah, masalah air, masalah kebajikan dan sebagainya. Inilah harapan-harapan pembangunan iaitu harapan tradisi.

Satu lagi kelompok pengundi, mengukur saya dan BN di Temerloh dan ini juga berlaku di seluruh negara, berasaskan yang saya panggil ‘harapan demokrasi’. Isunya ialah kesaksamaan, kebebasan, hak asasi, ketelusan, rasuah dan sebagainya.
Bagi BN, kita memang terkenal sangat baik dalam menangani dan memenuhi ‘harapan pembangunan’ itu seperti  Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku dan sebagainya. Itu berkesan, tetapi semua orang tahu kita masih lagi bekerja keras untuk membawa isu-isu seperti demokrasi dan sebagainya.

Mungkin di kawasan Parlimen dan Dun yang BN menang itu adalah kawasan-kawasan yang majoriti pengundi mengukur kita berdasarkan kepada ‘harapan pembangunan’. Di tempat-tempat BN kalah mungkin disebabkan majoriti pengundi memilih kita berdasarkan ‘harapan demokrasi’.

Oleh kerana itu, ada penganalisis seperti Profesor Shamsul Amri menggunakan istilah pengundi kelas menengah. Jadi kompleks, kita tak boleh salahkan sesuatu pihak semata-mata. Bagi saya di Temerloh, berdasarkan perbincangan dan ‘post- mortem’ dengan kawan-kawan daripada NGO Cina, dan wartawan Cina tempatan, mereka kata kepada saya dapat undi yang agak baik daripada pengundi Cina.

Faktor yang menyebabkan saya kalah mungkin kerana pengundi Cina yang tidak menetap di Temerloh. Mereka yang duduk di Temerloh kenal saya, biasa berjumpa, kalau dalam NGO saya selalu beri peruntukan kepada mereka, malah mereka tahu saya bermain bola keranjang dengan mereka.

Tapi yang mana hanya melihat 'ubah', mereka ini tak kira Saifuddin atau BN, letak sesiapa pun di situ, mereka akan langgar saja.

Namun tidak bermakna PRU14 mereka tak akan mengundi kita balik. Pengalaman kita sangat mudah ialah dalam pilihan raya 1999, pengundi Cina mengundi BN, begitu juga 2004. Pada 2008 pula, majoriti pengundi India tak mengundi kita, 2013 pengundi India mengundi kita balik. Kali ini kumpulan itu tidak mengundi kita, hakikatnya berdasarkan statistik, kita tak salahkan mereka.

Jangan kata anda tak mengundi kami kali ini, apa lagi kamu mahu! Esok kalau ditanya apa lagi BN mahu daripada kami, tidakkah susah kita nak jawabnya nanti.

Adakah Datuk tidak khuatir dengan kenyataan begitu, mungkin boleh menyinggung perasaan PM?

Saya rasa dalam kenyataannya sangat seimbang. Beliau tidak memikirkan sesuatu yang boleh mengguris sebab paling penting yang dinyatakan perdana menteri yang mana orang lupa ialah ‘National Reconciliation’... itu sangat mustahak. Ini bermakna selepas pilihan raya ini, kita harus melihat bagaimana penyatuan semula semua pihak termasuk antara kaum di negara ini dilakukan segera.

Saya fikir yang dinyatakan oleh surat khabar itu (Utusan Malaysia) satu perkara, perdana menteri sendiri saya fikir kenyataan beliau sangat seimbang.

Datuk dikatakan tewas setelah Pakatan Rakyat memainkan isu bahawa Temerloh akan dijadikan tapak buangan sisa Lynas. Sejauh mana perkara itu ada kebenarannya?

Ia kalau ada kesan pun mungkin lebih kalangan pengundi Cina, sebab kita tak dengar kesannya itu di kalangan pengundi Melayu. Sebab itu, sebelum ini pun jika isu Lynas itu diuar-uarkan di Temerloh juga itu banyaknya di kalangan pengundi Cina, dan kalau pun ada di kalangan pengundi Melayu jumlahnya agak kecil.

Tapi sebenarnya MCA, Datuk Chua Boon Seong sebagai calon berusaha untuk menangkis isu itu, mereka pergi ke tempat tapak pembuangan itu sambil bawa wartawan untuk membetulkan fakta itu.

Ini adalah kerana tempat yang dikatakan tempat pembuangan sisa Lynas itu sebenarnya adalah tempat pembuangan sampah yang biasa saja. Jadi agak malang jika perkara itu jadi isu tetapi, apakan daya di musim pilihan raya pendek, kalau ada agak menyedihkan.

Saya tak tahu sejauh mana kesannya. Cuma saya boleh katakan jika ia berkesan, ia mungkin di kalangan pengundi Cina.

Faktor pengundi setia Umno-BN khususnya di kalangan warga emas. Sejauh mana Datuk melihat mereka ini berpegang teguh kesetiaan kepada Umno-BN?

Secara keseluruhannya, saluran satu dan dua kita baik, malahan saya sendiri dapat undi yang agak baik dalam saluran tiga, empat dan lima, cuma yang saya katakan tadi, yang memang hilang banyak undi itu ialah di tempat-tempat yang majoriti pengundi Cina, itu di semua saluran.

Bila saya tanya kawan-kawan wartawan Cina dan himpunan NGO tempatan, mereka mengatakan bahawa mereka yang undi saya adalah mereka yang kenal saya sahaja dan yang tahu apa sumbangan saya kepada masyarakat Cina di Temerloh.
Pengundi yang tak mengundi saya itu mereka yang tinggal di luar kawasan Temerloh, mereka balik hanya untuk mengundi.

Golongan itu agak besar jumlahnya... sebab itu, saya katakan tidak boleh salahkan sesiapa di Temerloh kerana kekalahan saya kerana kalau dikira, saya sepatutnya kalah 3,000 undi, tapi saya kalah hanya 1,070.

Apabila dilihat satu persatu peti undi dan saluran, dapat disimpulkan bahawa mereka yang tak mengundi saya itu ialah orang yang tak kenal saya termasuk orang Melayu sendiri terdiri daripada pengundi muda dan duduk di luar kawasan.
Kita mesti hormat keputusan pengundi dan saya telah nyatakan sebelum ini mereka telah buat keputusan yang bijak.

Adakah faktor parti berbanding faktor calon itu sendiri punca penyebab Datuk tewas?

Dalam masa sebelum dan semasa kempen pilihan raya, saya ada bertemu dengan sekumpulan pengundi, lazimnya mereka ini dari golongan pertengahan dan bukan ahli parti.

Ada yang kata , “Din saya suka awak (calon), saya tahu awak nak buat bermacam-macam di kawasan Temerloh tapi saya tak suka parti awak”. Itu pun ada yang saya jumpa sendiri.

Saya pun cuba meyakinkan mereka bahawa Umno sudah berubah, BN telah melakukan transformasi dan sebagainya, tapi itu juga memberi gambaran bahawa bagi sesetengah golongan pertengahan, mereka melihat parti lebih penting.
Bagi sesetengah pengundi pula mengatakan tak peduli parti, janji dia sokong saya.

Pada saya ada keseimbangan itu, dalam konteks Temerloh sekurang-kurangnya saya lihat ada keseimbangan, ada golongan pertengahan yang mengundi kerana parti, ada yang mengundi kerana calon.

Walaupun sukar untuk dibuktikan, tentu ada sebab kenapa saya sepatutnya kalah 3,000 undi berbanding undi di saluran seperti Dun Lanchang, menang 1,000 undi; Dun Semantan kalah 2,300 undi, Dun Mentakab kalah 1,500 undi.

Jadi kalau dicampur tolak, saya sepatutnya kalah 3,000 undi tapi hakikatnya saya kalah 1,000 jadi dari mana datang 2,000 undi itu!

Di Temerloh faktor parti dan calon itu seimbang.

Sebab itu bila jumpa orang tempatan atas pagar sebelum dan selepas waktu kempen, ada yang sukar saya sebagai calon tapi mereka tak boleh undi saya sebab tak suka dengan parti saya.

Adakah Datuk menerima beri cadangan bertanding atas tiket Bebas, supaya mereka yang suka Datuk boleh undi terus?

Itu lazim saya dengar sebelum pilihan raya, lepas pilihan raya perkara itu tak timbul. Saya masih setia dengan parti sekarang, macam-macam spekulasi tapi saya tetap BN.

Sepanjang saya jadi Ahli Parlimen Temerloh, boleh dikatakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad saya di kawasan, malahan ada waktunya hari-hari lain juga berada di Temerloh.

Adakah faktor kekalahan

Datuk di Temerloh itu disebabkan kelantangan Datuk sendiri berani mengeluarkan pandangan dan pendirian yang agak berbeza dengan pimpinan parti sendiri, kadang kala bertentangan pendirian perdana menteri?

Ada dua perkara saya sedar bahawa dalam Umno bukan saja di Temerloh tapi di seluruh negara, ada pihak-pihak yang tak senang cara, pendekatan dan pendirian saya terhadap isu-isu tertentu.

Keduanya, saya tak fikir ia diterjemahkan sebagai undi tidak memihak kepada saya oleh orang-orang Umno, saya tak pernah persoalkan kesetiaan ahli-ahli Umno di Temerloh khususnya terhadap parti, pada saya isu itu tak timbul.

Bagi orang atas pagar, mereka tak bercerita sangat tentang soal itu, melainkan mereka yang memang melihat faktor calon, kalau mereka lihat faktor parti, itu tidak menjadi masalah, malahan mungkin menjadi kelebihan kerana ia melihat parti berubah.

Sebab itu, saya tahu orang atas pagar di Temerloh seperti di tempat lain, mereka sangat seronok apabila perdana menteri melakukan transformasi politik dan ia mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan pengundi atas pagar.

Soal sama ada sabotaj dalam parti, saya tak lihat perkara itu berlaku di Temerloh, sebabnya sebagai orang parti, kalau berlaku sabotaj, kita boleh rasa.

Sukar untuk dilihat oleh orang luar, tapi orang dalam terutamanya calon, dia boleh rasa kalau wujud sabotaj, tapi saya tak rasa perkara itu, kecuali kalau saya naif sangat hingga saya tak boleh rasa atau perkara itu berlaku dengan cara yang halus sekali.

Indikator-indikator biasa, yang merupakan sabotaj itu tidak kelihatan dan tidak dirasai di Temerloh.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in