Top

Twitter

17-05-2013 17:43

Saifuddin Abdullah tetap berkhidmat biarpun tewas

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Biarpun tewas kepada lawannya dalam Pilihan Raya 2013, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) tetap sibuk menjalankan khidmatnya kepada masyarakat walaupun bukan lagi bergelar ahli Parlimen.

Mewakili kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya 2008, beliau yang tewas di tangan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu mengakui sejurus keputusan diumumkan pada malam Ahad, tugasnya sebagai pemimpin tetap diteruskan pada keesokan harinya seperti biasa.

“Saya dah mula kerja 24 jam selepas keputusan PRU pada Ahad (5 Mei) diumumkan ... bermula dari Isnin malam sampai hari ini, setiap hari ada forum atau temubual akhbar atau televisyen termasuk akhbar Cina dan akhbar dan juga televisyen dari luar negara,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu yang ditemui selepas program Pasca PRU ke 13: Ke arah mana politik Malaysia anjuran Universiti Malaya (UM) di sini.

Beliau yang memperkenalkan budaya politik baru dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) turut dilihat bergerak aktif apabila memenuhi undangan forum dan seminar termasuk bual bicara anjuran media-media tempatan, termasuk diskusi bersama rakan-rakan parti lawan dalam program anjuran badan bukan kerajaan.

“Saya ada tanggungjawab untuk menjelaskan sudut pandangan kita dalam BN terhadap keputusan Pilihan Raya ... mana persepsi yang silap dan menyatakan bahawa walaupun PRU kali ini BN menang, tapi kalah ‘popular vote’ tetapi kita nak tunjukkan BN masih lagi sesuai dan kita akan memperbaiki prestasi kita bukan sahaja untuk BN, tetapi juga negara,” katanya yang tewas majoriti 1,070 undi kepada Nasrudin.

Nasrudin memperoleh 28,267 undi manakala Saifuddin Abdullah memperoleh 27,197 undi.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu turut berkata, beliau merasakan terpanggil untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan sesetengah pihak kepada kerajaan.

“Misalnya apabila media barat mereka petik sebahagian sahaja ucapan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak), saya bertanggungjawab untuk jawab laporan mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Akademi Belia yang dipeloporinya juga kini dihidupkan semula di Temerloh dengan berlandaskan gerakan badan bukan kerajaan.

“Tiga orientasi utamanya adalah pendidikan dan latihan, penyelidikan, penerbitan dan ia juga saya nak tubuhkan di Temerloh ia spesifik sebagai platform untuk warga Temerloh walaupun bukan lagi ahli Parlimen.

Seminar yang bermula jam 9 pagi itu turut membariskan beberapa pembentangan daripada wakil pembangkang seperti ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin dan wakil BN Saifuddin sendiri.

Selain itu, seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) itu turut menjemput wakil daripada pusat kaji selidik ternama, Merdeka Center, Ibrahim Sufian, Institut bagi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Keeran Sivarajah dan juga wakil blogger, Datuk Rhuhanie Ahmad.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in