Top

Twitter

17-02-2014 16:39

Dialog agama untuk harmoni

PADA 5 Februari lalu, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menganjurkan “Dialog Keharmonian” di Pejabat GMM.

Ia bersempena dengan sambutan Minggu Keharmonian Antara-Kepercayaan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang jatuh pada minggu pertama bulan Februari.

Ia dihadiri 60 peserta dari 29 organisasi pelbagai kepercayaan dan perwakilan asing di Kuala Lumpur. Ia dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Agung Proham Datuk Dr Denison Jayasooria dan saya.

Di dialog itu, para peserta mengalu-alukan langkah kerajaan, yang diketuai Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional Tan Sri Joseph Kurup, dalam merayakan minggu tersebut di peringkat nasional.

Mereka juga merakamkan penghargaan kepada banyak individu dan organisasi yang selama ini telah dengan tabahnya, menggerakkan kefahaman antara-kepercayaan dan toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan di negara ini.

Bagaimanapun, para peserta turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan yang berlaku hari ini yang memperlihatkan merosotnya keharmonian dan toleransi agama.

Antara lain, ia ditandai oleh kurangnya kepemimpinan di peringkat kerajaan dalam segera menangani isu dan konflik tertentu; percanggahan dalam sesetengah dasar awam dan pelaksanaannya dari segi meningkatkan harmoni; dan kurangnya ruang interaksi serta perundingan antara semua pemegang taruh dengan kerajaan dalam isu-isu yang berbangkit.

Secara keseluruhannya, dialog ini berjaya mencapai matlamatnya kerana majoriti peserta menggunakan kebanyakan masa yang diperuntukkan untuk menyuarakan betapa perlunya ditingkatkan kerjasama antara semua pemegang taruh dalam memperkukuhkan kefahaman, toleransi, harmoni dan kerjasama di kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan di negara ini, lengkap dengan sejumlah cadangan konkrit.

Berikut ialah 10 perkara yang telah dicadangkan itu:

- Pertama, kepemimpinan politik tertinggi perlu mempunyai keazaman politik yang lebih untuk berunding dengan pemegang-pemegang taruh dan benar-benar memimpin gerakan meningkatkan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai kepercayaan dengan kebijaksanaan dan keberanian moral.

- Kedua, perlu memperluas dan mempromosi ruang diskusi baharu dalam kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan, contohnya, melalui interaksi dan dialog.
- Ketiga, memperkukuhkan kerjasama antara organisasi-organisasi yang mewakili pelbagai kepercayaan untuk menganjurkan bersama aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti khidmat sukarela, perubatan dan sukan.
- Keempat, meningkatkan pendidikan dan kefahaman rakyat, terutamanya belia, akan kepentingan perkara ini.
- Kelima, meningkatkan jaringan dan kerjasama antara organisasi-organisasi pelbagai kepercayaan dengan institusi-institusi agama yang formal di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri.
- Keenam, meningkatkan pandangan khalayak yang positif dalam isu-isu berkaitan. Dalam konteks ini, peranan media dan suara-suara kesederhanaan penting.
- Ketujuh, mengkaji semula sesetengah dasar pembangunan dan perundangan supaya menjadi lebih inklusif, contohnya, dengan melancarkan semula Model Baru Ekonomi, khususnya prinsipnya tentang Keterangkuman. Saluran sesuai ialah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).
- Kelapan, menubuhkan sebuah mekanisme yang mampu dengan secara segera, terbuka dan efektif menangani apa-apa konflik yang tercetus.
- Kesembilan, kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan partisipatori (bukannya pasif dan reaksionari) dalam isu-isu antara-kepercayaan di pentas-pentas antarabangsa, contohnya, PBB, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Kesatuan Eropah dan Asean.
- Kesepuluh, cadangan-cadangan ini akan dibentangkan di mesyuarat kedua MKPN, berserta dengan permintaan para peserta supaya diadakan dialog peringkat tertinggi yang dipengerusikan bersama oleh Tan Sri Joseph Kurup dan menteri bertanggungjawab terhadap agama Islam Datuk Seri Mohd Jamil Khir, mudah-mudahan pada awal Mac ini.

*Saifuddin Abdullah ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan aktif di twitter @saifuddinabd.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in