Top

Twitter

09-06-2014 04:50

Keakraban Malaysia-Singapura

Keakraban Malaysia-Singapura ?#‎SHKolumnis?

PADA 25-31 Mei lalu, saya memenuhi undangan program Fellowship Yayasan Lee Kuan Yew di Singapura. Program ini bertujuan meningkatkan hubungan antara pemimpin-pemimpin serantau daripada pelbagai bidang.

Jadual program dipenuhi pelbagai pertemuan dan lawatan. Sebahagiannya atas permintaan saya. Manakala, sebahagian lagi atas aturan penganjur.

Antara yang diatur ialah kunjung hormat ke atas empat menteri dan menyampaikan syarahan di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas).

Matlamat utama saya menyertai program ini ialah meningkatkan kerjasama Malaysia-Singapura dari segi diplomasi rakyat-pada-rakyat dan soft power, terutamanya dalam konteks Komuniti Asean 2015 dan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada tahun sama, dengan fokus pada bidang sosiobudaya, khususnya beberapa projek belia Asean yang berkesan dan berkesinambungan.

Dalam pertemuan dengan Menteri Luar dan Undang-undang, Shanmugam, beliau mengiakan kefahaman saya tentang cara Asean bekerja, dan bahawa cara sedia ada perlu diubah, seperti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, serta menjanjikan sokongan Singapura kepada inisiatif-inisiatif Malaysia ketika mempengerusikan Asean.

Kami senada supaya Malaysia-Singapura memulakan beberapa projek belia dan sosiobudaya yang berkesinambungan dan disertai negara-negara Asean yang lain. Memahami cara Asean (sebagai sebuah organisasi) bekerja, iaitu mudah mendapatkan persetujuan dalam meluluskan projek, tetapi sukar mendapatkan komitmen dalam pelaksanaannya, maka, pendekatan ini dijangka lebih praktikal.

Dalam pertemuan dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Chan Chun Sing, beliau bersetuju dengan cadangan GMM untuk menubuhkan Jaringan Keusahawanan Sosial Belia Asean (senAsean). Sebagai susulan, Persatuan Keusahawanan Sosial Singapura (SEAssoc) dan Gabungan Keusahawanan Sosial Malaysia (SE Alliance) akan bermesyuarat.

Program pertama kerjasama kedua-duanya ialah Persidangan Keusahawanan Sosial Asean di Singapura Oktober ini, dan di Malaysia tahun depan.

Pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Lawrence Wong menyentuh program belia serantau. Beliau berminat dengan projek School of Passion yang telah dilancarkan GMM di Myanmar dan bakal dilancarkan di Kemboja. Kami bersetuju untuk Malaysia-Singapura, projek yang berbeza, seperti kesenian dan muzik, mungkin lebih sesuai.

Oleh kerana ia telah dimulakan tahun lalu oleh kementerian belia kedua-dua negara, maka, kini, soalnya ialah meluaskannya ke negara-negara Asean lain.

Manakala pertemuan dengan Menteri Kanan Negara Kementerian Dalam Negeri/Luar Negara, Masagos Zulkifli banyak berkisar pada hubungan antara agama dan kaum.

Beliau berkongsi pengalaman dalam menguruskan masyarakat majmuk Singapura, khususnya, tentang Akta Keharmonian Antara Agama dan Majlis Presiden Tentang Hubungan Antara Agama.

Syarahan saya di Iseas bertajuk 'Kesederhanaan dalam konteks Malaysia'. Saya berkongsi faktor-faktor kejayaan kesatuan sosial kita, isu-isu semasa dan pendekatan penyatupaduan yang sedang dilaksanakan, khususnya, melalui Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.

Pertemuan dengan Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Parlimen Tentang Hubungan Luar Negara pula menambahkan keyakinan saya betapa Parlimen kita patut mempunyai lebih banyak Jawatankuasa Pilihan/Khas untuk beberapa bidang utama negara, contohnya, pendidikan, perpaduan, ekonomi dan dasar luar.

Pertemuan-pertemuan lain yang diadakan, antaranya, dengan Universiti Nasional Singapura (NUS), Institut Pengajian Antarabangsa Rajaratnam (RSIS) dan Pusat Harmoni, menambah isi kandungan kepada pertemuan-pertemuan dan syarahan di atas.

Kesimpulannya, kita perlu meningkatkan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi, iaitu tahap keakraban, bukan sahaja secara bilateral, tetapi juga dalam konteks serantau dan antarabangsa.

Di samping itu, program ini bersifat strategik. Sebab itu beberapa negara, contohnya, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Jepun, punya program yang seumpama dengannya. GMM pernah mencadangkannya kepada kerajaan Malaysia dan akan menyusulinya.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in