Top

Twitter

23-06-2014 07:22

Perundingan Akta Harmoni

AKTA Harmoni sedang hangat dibincangkan. Sehingga ada yang menuduh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) bekerja semata-mata untuk akta ini.

Sebenarnya, laporan lengkap MKPN (dijangka siap pada September 2014) akan bersifat holistik dan mengandungi pelbagai cadangan. Ia berasaskan lima jawatankuasanya, sembilan perkara yang diteliti, penyelidikan-penyelidikan (contohnya oleh Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia) dan proses perundingan yang panjang. Akta Harmoni satu daripada cadangannya.

Hari ini, Akta Harmoni dalam peringkat draf dan perundingan. Ia digerakkan Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar MKPN yang dipengerusikan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) dan timbalannya Lim Chee Wee (bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia). Saya salah seorang anggotanya.

Akta Harmoni diperlukan untuk mengganti Akta Hasutan 1948. Ia digubal British untuk mengekang komunisme. I

a mengandungi masalah, contohnya tiada definisi jelas tentang hasutan, seseorang terlalu mudah terjerat dan berlaku pendakwaan selektif. Ramai meminta ia dimansuh. Pada 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan yang ia akan dimansuhkan.

Tanpa Akta Hasutan, undang-undang sedia ada, contohnya Kanun Keseksaan, tidak memadai. Kanun Keseksaan ada peruntukan yang menyentuh agama, tetapi tiada tentang kaum dan lain-lain.

Justeru, sebuah undang-undang yang secara jelas menangani isu-isu perpaduan, integrasi nasional, kesaksamaan dan diskriminasi tak adil, serta mekanisme penyelesaian konflik, adalah diperlukan.
MKPN sedar wujudnya dapatan penyelidikan bahawa semakin banyak undang-undang tentang perpaduan mungkin menyebabkan lebih banyak polarisasi.

Soalnya, MKPN bukan menambah undang-undang.

MKPN hanya menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, dan mengambil kira supaya ia tidak drakonian; sambil mengingatkan kerajaan bahawa kebaikannya bergantung juga kepada prosedur yang telus, pendakwaan tidak selektif dan kehakiman yang bebas.

Ada yang menolak Akta Harmoni kerana ia disediakan tanpa Kertas Putih. Cadangan mewujudkan Kertas Putih adalah baik. Parlimen perlu buat keputusan. Sementara itu, isu-isu sedia ada perlu ditangani segera. Undang-undang perlu diwujudkan jua.

Tetapi, sebenarnya proses perundingan MKPN (contohnya, 18 Dialog Perpaduan di seluruh negara, siri pertemuan dengan pelbagai pemegang taruh) adalah umpama penyediaan Kertas Putih jua. Perkara utama yang disuarakan dalam 18 dialog itu ialah undang-undang dan dasar, etnik dan politik/governans. Pokoknya, Akta Harmoni tidak lahir dalam hampagas.

MKPN prihatin bahawa Akta Harmoni tidak boleh berlawanan dengan perkara 3, 152, 153, 181 dan Bahagian 3 Perlembagaan, iaitu tentang Raja-raja, kedudukan istimewa orang Melayu, Islam agama Persekutuan dan sebagainya.

Akta Harmoni mengambil kira Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial, sejarah, budaya dan sebagainya. Ia menyeimbangkan antara kebebasan bersuara dengan kebertanggungjawaban.

Ia sesuai dengan Realiti Baharu kontemporari, seperti ICT/media sosial, kesedaran/gerakan baharu sosial, fasa ketiga demokrasi, masyarakat berpendidikan, urbanisasi dan kelas menengah.
Draf Akta Harmoni boleh didapati di www.nucc.my. Maklumbalas pembaca amat dialu-alukan.

Matlamat Akta Harmoni jelas. Pertama, menjadikan 'hate speech' kesalahan jenayah. Kedua, mengelakkan diskriminasi tak adil atas sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir, gender dan kurang upaya.

Dan ketiga, menubuhkan Suruhanjaya Harmoni serta Rekonsiliasi untuk menangani isu-isu diskriminasi tak adil.

MKPN giat mengadakan perundingan dengan pelbagai pemegang taruh, seperti masyarakat sivil, profesional dan parti politik. Draf akhir akan disediakan Jabatan Peguam Negara.

Setakat ini, Kabinet hanya dimaklumkan tentangnya dan akan membuat keputusan apabila tiba masanya. MKPN mencadangkan supaya Jawatankuasa Parlimen ditubuhkan untuk membincangkan draf akhir sebelum dibentangkan di Parlimen.

MKPN sedar, undang-undang bukan cara terbaik untuk meningkatkan perpaduan. Tetapi, ia diperlukan untuk mengelakkan daripada perpecahan menjadi semakin parah.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in