Top

Twitter

07-07-2014 06:12

Menjelaskan lagi Akta Harmoni

DRAF Rang Undang-undang Harmoni Nasional (RUUHN) mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menyokong, ada yang ingin ia diperbaiki, ada yang mengkritik dan ada yang menolaknya. Tetapi, dari sehari ke sehari, semakin banyak maklum balas positif yang substantif diterima.

Bagi kami yang terlibat secara langsung dengannya, iaitu Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), yang diketuai Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya Lim Chee Wee, dan saya salah seorang anggotanya, semua ini membuktikan betapa RUUHN penting dan diperlukan.

Ia juga tambah menjelaskan mengapa Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan, iaitu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2012.

Ia turut menunjukkan bahawa proses perundingan (seperti yang sedang kami lakukan) adalah pendekatan lebih baik dalam penggubalan undang-undang.

Kebanyakan yang menolak RUUHN tidak merujuk perkara substantif, iaitu kandungan draf RUUHN. Malahan, sesetengahnya kelihatan tidak pun membaca draf RUUHN yang sedia didapati di laman web MKPN, iaitu www.nucc.my.

Antara yang menolak itu memberitahu saya yang beliau tidak mahu membaca draf itu selagi kami tidak menjawab pendapatnya. Sebenarnya, pendapatnya telah kami jawab. Tetapi, beliau tidak berpuas hati. Masalahnya, pendapatnya itu, walaupun bernas, tetapi bukan sesuatu yang mandatori dilaksanakan dalam konteks menggubal undang-undang hari ini.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed mendakwa beliau menolak tawaran menjadi Pengerusi MKPN kerana khuatir menjadi alat atau pengkhianat bangsa Melayu dan agama Islam. 

Keseluruhan dakwaan Tun Abdul Hamid itu, walaupun boleh dijawab satu persatu, tetapi, oleh kerana ia berasaskan pandangan dunia yang berbeza sama sekali dengan pandangan dunia yang kami gunakan, maka, tidaklah saya membidasnya di sini.

Lagipun, Dr Mujahid, Chee Wee dan saya telah pun mengeluarkan kenyataan (pada 2 Julai lalu) membantah keras dakwaannya itu.

Pada masa sama, kami dapat maklum balas positif dan konstruktif daripada banyak pihak.

Mereka memahami bahawa matlamat RUUHN adalah jelas, iaitu: pertama, menjadikan ucapan kebencian (hate speech) berasaskan agama dan kaum satu kesalahan jenayah; kedua, mengelakkan diskriminasi tak adil atas sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir, gender dan kelainan upaya; dan ketiga, menubuhkan Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi untuk menangani isu-isu diskriminasi tak adil.

Contohnya, beberapa badan masyarakat sivil (CSO) menyatakan keperluan untuk menangani jenayah kebencian yang berasaskan agama dan kaum; dan memperbaiki cadangan suruhanjaya atau mekanisme mediasi bagi menangani isu-isu polarisasi dan diskriminasi tak adil.

Sekumpulan ahli Parlimen Pakatan Rakyat mencadangkan beberapa peruntukan dalam draf RUUHN untuk, sama ada digugurkan atau diperbaiki, contohnya, soal keanggotaan badan-badan yang berasaskan kaum atau bersifat eksklusif.

MCA mencadangkan agar suruhanjaya yang hendak ditubuhkan itu mempunyai pasukan pendakwaannya sendiri, iaitu seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyatakan yang pihaknya akan menyediakan memorandum untuk memperhalusi kandungan RUUHN.

Di samping itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara, Tan Sri Joseph Kurup, yang terlibat dengan RUUHN sejak awal, beberapa orang menteri lain turut menyuarakan keprihatinannya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan RUUHN perlu mengambil kira elemen-elemen agama, kaum dan budaya, sementara Menteri Komunikasi dan Multi Media Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan perlunya dilihat aspek penyalahgunaan internet.

Kesimpulannya, dengan pemerhatian yang rasional dan teliti, RUUHN yang merupakan satu daripada pelbagai cadangan MKPN kepada kerajaan, adalah sesuatu yang amat diperlukan dalam melengkapkan langkah-langkah meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in