Top

Twitter

21-07-2014 07:10

Martabatkan kebebasan akademik

PEMBERHENTIAN Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) telah mencetuskan perbincangan semula isu kebebasan akademik dalam kalangan pelbagai pihak.

Pada 15 Julai lalu, berlangsung Forum Mengangkat Martabat Akademik dan Kebebasan Akademik anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Wadah Pencerdasan Umat (Wadah), Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan (APDK) dan Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al Hikmah di Kajang.

Ia dimulakan dengan ucapan Presiden Wadah, Datuk Dr Siddiq Fadzil. Panel forum terdiri daripada Presiden Akademi Sains Islam (Asasi) Prof Dr Shaharir Md Zain, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan saya.

Pada saya, kebebasan akademik nadi universiti. Ia menjadi isu apabila dilanggar. Justeru, ia perlu dimartabatkan.

Menurut Czry Nelson dalam bukunya, No University is an Island: Saving Academic Freedom, kebebasan akademik bermakna kebebasan inkuiri dan menyelidik, mengajar dalam universiti serta bersuara dan berbuat di luar kampus. Ia boleh dilakukan tanpa ancaman hukuman, dibuang, dihalau, dipenjara atau dibunuh.

Ia asas untuk merealisasikan budaya ilmu, matlamat universiti, kesarjanaan dan public intellectuals, iaitu pencapaian kecemerlangan dalam erti sebenar.

Kerana itu, wujud organisasi memperjuangkannya, contohnya, Society for Freedom in Science (UK) dan American Association of University Professors (US). Dan sesetengah negara, contohnya, Perancis, Jerman dan Filipina, mencatatkannya dalam Perlembagaan kebangsaan.

Masalahnya ialah kebebasan akademik sering dinodai, sama ada oleh campur tangan politik dan pihak luar atau masalah dalaman.

Prof Dr Mohd Nazari Ismail pernah menulis tentang kebebasan daripada pemimpin anti-intelektual pada sepanjang sejarah. Tokoh-tokoh seperti Michael Sevetus, Galileo Galilei, Albert Einstein, Imam Abu Hanifah dan Syed Qutb, dan peristiwa-peristiwa seperti The Night of the Long Police Batons (Argentina) dan The Killing Fields (Kemboja) adalah contoh kezaliman pemerintah terhadap intelektual.

Di Malaysia, terdapat dua kes mutakhir yang terkenal. Pertama, yang melibatkan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Aziz Bari beberapa tahun lalu.
Ketika masih dalam siasatan polis atas kenyataannya tentang istana, beliau disiasat dan digantung UIAM daripada masuk kampus. Selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, saya menasihatkan UIAM agar tidak menggantungnya.

Kes terbaharu ialah yang melibat Prof Redzuan. Beliau Pengarah Umcedel sehingga 31 Disember 2014. Tetapi, beliau diberhentikan pada 30 Mac 2014 akibat campur tangan politik.
Saya mengetahuinya sejak awal dan melalui pertemuan dengan Naib Canselor UM. Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti, saya meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM.

Contoh-contoh lain ialah: pensyarah dibirokrasikan dalam tugasannya, dijadikan kaki tangan kerajaan, tidak dibenarkan berbicara dengan media, dikenakan tunjuk sebab, ditukar, diketepikan atau dipintas.

Kini, majoriti pensyarah melalukan self-censorship, iaitu tidak bersuara dan hanya menjaga kerjayanya sahaja. Apa yang dibimbangkan ialah kalau fenomena ini menjadi barah sehingga pensyarah berasa tiada harapan atau tiada gunanya untuk bersuara.

Saya mencadangkan sembilan langkah ke hadapan:
-    Percayalah pada akademia.
-    Transformasi universiti mesti diketuai universiti, bukannya oleh pihak luar.
-    Universiti perlu benar-benar autonomi daripada kerajaan dan perniagaan.
-    Memperbaiki kaedah dan kelayakan pelantikan jawatan-jawatan kanan universiti.
-    Mengamalkan kerangka governans baharu yang melibatkan perwakilan semua pemegang taruh.
-    Penghayatan kebebasan akademik oleh semua pihak.
-    Menyemarakkan peranan pensyarah sebagai public intellectuals.
-    Menggubal akta pengajian tinggi baharu yang mendukung kebebasan akademik.
-    Menyuburkan sistem bernegara yang luas ruang khalayaknya dan tanpa budaya menakut-nakutkan.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in