Top

Twitter

15-09-2014 05:07

Mansuh Akta Hasutan

PADA 4 September lalu, Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan, Majlis Peguam (NYLC) melancarkan kempen mansuhkan Akta Hasutan 1948, iaitu #MansuhAktaHasutan.

Di samping itu, 115 NGO lain bergabung atas nama Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH). Kedua-duanya bekerjasama dalam kempen ini.

Akta Hasutan digubal British bagi menghukum mereka yang menentangnya. Malangnya, meskipun kita telah merdeka, tetapi akta ini masih berkuat kuasa. Malangnya juga, ia masih berkuat kuasa di sebalik transformasi politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan mahkamah, contohnya, PP vs Fan Yew Teng (1975), PP vs Oh Keng Seng (1979) dan PP vs Mark Koding (1983), Akta Hasutan mempunyai beberapa masalah.

Pertama, definisi kecenderungan menghasut tidak diperlukan. Kedua, niat tertuduh tidak relevan. Ketiga, tidak perlu membuktikan berlakunya sesuatu yang buruk. Dan keempat, hanya perlu membuktikan tertuduh ada mengeluarkan perkataan tertentu.

Jelaslah bahawa had minimum untuk didapati bersalah amat rendah. Ia mengongkong kebebasan bersuara dan kebebasan akademik. Kerisauan bahawa akta ini disalah guna melalui pendakwaan terpilih semakin meningkat.

Akta ini drakonian. Justeru, ramai peguam, aktivis, akademia dan ahli politik, dan khususnya Majlis Peguam, telah sejak lama meminta akta ini dimansuhkan.

Pada Julai 2012, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memansuhkannya. Ini diulanginya pada Julai 2013 dengan mengatakan yang ia akan diganti dengan Akta Harmoni Nasional. Beliau sekali lagi mengulangi janjinya ini baru-baru ini.

Tetapi, akibat Akta Hasutan digunakan begitu kerap mutakhir ini, maka, ramai yang terkejut dan tertanya-tanya. Antara yang telah didakwa ialah sebaris pemimpin politik, badan masyarakat sivil dan belia.

Semakin menghairankan ialah apabila pada 2 September lalu, Profesor Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang Universiti Malaya didakwa atas pendapatnya tentang krisis Menteri Besar Selangor.

Selepas itu, ia digunakan pula ke atas wartawan dan guru agama.

Saya menyokong kempen mansuhkan Akta Hasutan. Sekiranya perlu diadakan undang-undang bagi menggantikannya, maka, ia mestilah undang-undang yang lebih baik.

Contohnya, ialah cadangan Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), iaitu Akta Harmoni Nasional.

Akta Harmoni Nasional lebih baik (daripada Akta Hasutan) kerana, pertama, ia menjelaskan definisi hasutan yang tidak dibenarkan, iaitu atas alasan agama, kaum dan terhadap raja; dan kedua, mesti dibuktikan adanya niat.

Akta Harmoni Nasional berusaha menegakkan kebebasan bersuara. Ia konsisten dan tidak bercanggah dengan peruntukan-peruntukan fundamental Perlembagaan Persekutuan, seperti Perkara 3, 152, 153, 181 dan sebagainya.

Bagi mereka yang risau apa akan berlaku sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, terdapat cadangan diwujudkan undang-undang pengganti yang lebih baik, iaitu Akta Harmoni Nasional. Manakala, bagi mereka yang bimbang akan soal kebebasan bersuara dan kebebasan akademik, cadangan akta pengganti, iaitu Akta Harmoni Nasional, turut menegakkannya.

Berbalik kepada kempen mansuhkan Akta Hasutan, ia penting kerana terdapat mereka yang menentang pemansuhannya. Alasan mereka tidak substantif. Kempen ini diharap membantu mereka memahami persoalannya.

Manakala dengan perkembangan mutakhir ini, kempen ini diperlukan untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa semakin ramai mahu akta ini dimansuhkan.

Menurut pengarah kempen NYLC, Syahredzan Johan, dan aktivis-aktivis GHAH, kedua-dua kempen ini mempunyai objektif yang sama, iaitu: supaya kerajaan memansuhkan akta ini; supaya dibatalkan semua pendakwaan mutakhir ini; dan agar akta ini tidak diganti dengan akta baharu yang sama masalahnya.

Saya percaya Perdana Menteri komited memansuhkannya. Tetapi, terdapat mereka di sekelilingnya yang tidak setuju. Mari tunjukkan bahawa rakyat mahu ia dimansuhkan. Sertailah kempen ini!

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in