Top

Twitter

27-10-2014 09:36

Keperluan mewujudkan SPU

MAJLIS Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), dalam mesyuaratnya pada 15 Oktober lalu, bersetuju untuk memasukkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (SPU) dalam laporannya kepada kerajaan.

Ia adalah satu daripada empat cadangan daripada Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar yang diluluskan mesyuarat MKPN tersebut. Tiga lagi cadangan ialah mengenai Akta Harmoni Nasional, Kempen Literasi Perlembagaan dan Anugerah Perpaduan Negara.

Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar dipengerusikan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan Lim Chee Wee sebagai timbalannya. Saya ialah seorang daripada anggotanya.

SPU bukanlah idea baharu. Ia telah dicadangkan sejak lama, misalnya, oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, yang menulis mengenainya di Journal of Malaysia and Comparative Law pada 1979. Kami bertuah kerana mendapat nasihatnya dalam menyediakan cadangan SPU ini.

Keperluan terhadap kewujudan SPU yang bebas semakin dirasai hari ini. Ia penting untuk memperbaharui undang-undang supaya sesuai dengan tuntutan zaman. Apalagi sekiranya tercetus sesuatu isu perundangan yang melibatkan kepentingan awam, maka sebelum ia menjadi masalah, contohnya krisis keyakinan, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kaedah terbaik yang dapat mengkaji dan menerangkan akan letak sebenar isu tersebut.

Pada Disember 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Malaysia (JPUM) yang dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong. Antara anggotanya ialah Ira Biswas (Majlis Peguam Malaysia) dan Profesor Madya Dr Azmi Sharom (Universiti Malaya).

Kami turut mendapatkan nasihat kedua-duanya dalam hal ini. JPUM adalah langkah terkini kerajaan dalam konteks diskusi SPU, iaitu sebagai tambahan kepada Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara.

Tetapi, ia berhadapan dengan beberapa kekangan, contohnya, skop modus operandi yang sempit, kekurangan sumber manusia, kekurangan kewangan, tidak dilindungi oleh apa-apa statut, kurang maklum balas daripada pihak awam dan sebagainya.

Oleh itu, kini terdapat keperluan yang amat sangat untuk diwujudkan SPU dalam erti kata yang sebenar. Jawatankuasa MKPN mencadangkan supaya SPU diwujudkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang. Ini bagi memastikan supaya peranan dan kuasa SPU ditentukan dengan jelas dan tidak mengulangi masalah-masalah yang dihadapi JPUM.

Ciri-ciri utama SPU yang dicadangkan ialah:

- Peranan SPU ialah mengkaji dan mencadangkan: pindaan atau pemansuhan undang-undang sedia ada; penggubalan undang-undang baharu; dan memodenkan dan mempermudah undang-undang supaya selaras dengan keperluan masyarakat kontemporari.

- Keanggotaannya terdiri daripada pesuruhjaya sepenuh masa dan penyelidik daripada pelbagai latar belakang, contohnya bekas hakim, peguam, ahli ekonomi, ahli sosiologi dan sebagainya. Ini bagi memastikan agar SPU tidak menggunakan pendekatan undang-undang peguam.

- SPU perlu bekerjasama rapat dengan institusi-institusi berkaitan, contohnya menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Jabatan Peguam Negara, Parlimen, universiti, badan penyelidik dan CSO.

- Pendekatan yang digunakan ialah perundingan dan berorientasi pelaksanaan. Komunikasi dan perundingan dengan pihak awam amat penting bagi memastikan mereka berasa kepunyaan dalam proses membuat undang-undang.

- SPU akan menyediakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen. Ia juga dicetak untuk dikongsi dengan masyarakat.

- Bagi memastikan kebebasannya, segala urusan pentadbiran dan kewangan SPU hendaklah datang secara langsung daripada Parlimen.

Oleh kerana ia akan termaktub dalam laporan MKPN, adalah diharapkan kerajaan akan menubuhkan SPU kerana undang-undang perlu dikaji secara bebas dari semasa ke semasa agar berkembang selaras dengan keperluan semasa, setempat dan sejagat.

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in