Top

Twitter

24-11-2014 08:21

Solidariti siswa antarabangsa

TANGGAL 17 November ialah Hari Mahasiswa Antarabangsa. Pada tarikh tersebut baru-baru ini, Ikram Siswa menganjurkan Sidang Media dan Forum Kebebasan Akademik dan Masa Depan Mahasiswa di Bangi. Saya berterima kasih kerana dijemput menyampaikan ucaptama.

Hari Mahasiswa Antarabangsa ialah tarikh memperingati lapan mahasiswa dan seorang pensyarah yang dibunuh Nazi Jerman yang menyerang Universiti Prague, Czechoslovakia, pada 17 November 1939.

Ia mula dijadikan tarikh peringatan dan solidariti mahasiswa pada 1941, di London, oleh Majlis Mahasiswa Antarabangsa. Kini ia diteruskan setiap tahun oleh penggantinya, Kesatuan Mahasiswa Antarabangsa, dan pelbagai organisasi mahasiswa, termasuk melobi menjadikannya hari peringatan rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Setinggi-tinggi tahniah buat Ikram Siswa kerana, seingat saya, ini kali pertama program memperingati hari tersebut dianjurkan di negara ini.

Di program tersebut, tujuh organisasi mahasiswa telah melancarkan Kempen Kebebasan Akademik. Organisasi-organisasi itu ialah Ikram Siswa, Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Persatuan

Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Gerakan Demokratik Belia dan Remaja Malaysia (Dema), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Menurut Cary Nelson, kebebasan akademik bermakna kebebasan inkuiri dan menyelidik, mengajar dalam universiti serta bersuara dan berbuat di luar kampus. Ia boleh dilakukan tanpa ancaman hukuman, dibuang, dihalau, dipenjarakan atau dibunuh.

Ia asas untuk merealisasikan budaya ilmu, matlamat universiti, kesarjanaan dan public intellectuals, iaitu pencapaian kecemerlangan dalam erti sebenar. 

Masalahnya ialah kebebasan akademik sering dinodai, sama ada oleh campur tangan politik dan pihak luar atau masalah dalaman. Dan yang menjadi mangsanya bukan sahaja pensyarah, tetapi, termasuk juga mahasiswa.

Kemuncak program ialah forum empat Presiden, iaitu Marwan Abdullah (Ikram Siswa), Mohd Fazril Mohd Salleh (PKPIM), Fahmi Zainol (PMUM) dan Abd Malik Abd Razak (Gamis; diwakili Mohd Imran Ishak). Ia dipengerusikan Mohd Fikri Ahmad (Ahli Parlimen Belia).

Solidariti mahasiswa antarabangsa adalah penting. Ini kerana ramai aktivis berhadapan dengan pelbagai tribulasi. Di Czechoslovakia pada 1939 itu, sembilan orang yang terbunuh itu sebenarnya berdemonstrasi membantah kekerasan Nazi yang sebelum itu menembak dan menyebabkan kematian Jan Opletal, mahasiswa Universiti Charles yang mengadakan sambutan hari kemerdekaan Republik Czechoslovakia (1918). Di samping itu, lebih seribu mahasiswa ditangkap dan dihantar ke kem konsentrasi.

Ramai aktivis terbunuh dan tercedera dalam siri perjuangan mahasiswa, contohnya, menuntut kemerdekaan, anti-perang, anti-senjata nuklear, pro-alam sekitar, pro-demokrasi dan sebagainya, di seluruh dunia. Dalam konteks Arab Spring, contohnya, di Mesir, dilaporkan ada yang dihukum mati dan lebih 600 orang dibuang universiti.

Aktivis mahasiswa Malaysia lebih bernasib baik. Tetapi, mereka turut tidak terlepas daripada tribulasi, khususnya tindakan undang-undang drakonian seperti, dulunya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kerana itu, SMM pernah mengisytiharkan 8 Jun sebagai Hari Hak

Asasi Mahasiswa. Ia sebagai bersolidariti dengan tujuh aktivis yang didakwa di bawah Akta Polis dan digantung pengajian kerana berdemonstrasi pada 8 Jun 2001 untuk menghapuskan ISA.

Ada yang menjadi mangsa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebelum Seksyen 15 dipinda. Ada juga yang teraniaya oleh Akta Hasutan dan ketidakadilan pelaksanaan peraturan tatatertib oleh sesetengah pentadbir universiti.

Di Bangi hari itu bukanlah kali pertama pelbagai organisasi mahasiswa tempatan bekerjasama. Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama bagi menangani pelbagai isu. Adalah diharapkan, dengan memperingati 17 November pada setiap tahun, maka, kerjasama ini akan berkekalan dan bertambah anggotanya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.


# Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan aktif di Twitter (@saifuddinabd).

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in