Top

Twitter

21-07-2015 09:28

Membanteras politik wang

ANTARA perkara yang timbul dalam isu 1MDB ialah dana politik. Keputusannya belum ada. Tetapi, ia membuka kembali persoalan penting dalam dunia politik, iaitu politik wang.  

Saya menulis tentang membanteras politik wang sejak 2006, iaitu sebagai sebahagian daripada idea Politik Baru (tajuk buku keempat saya, 2008).

Politik memerlukan wang. Tetapi, penggunaannya mesti diregulasi. Apa yang salah ialah apabila wang disalahgunakan untuk politik. Ia berlaku dalam beberapa keadaan. Ada antaranya melibatkan sistem dan proses yang kompleks. Kesannya buruk, seperti rasuah, penggunaan wang haram, kawalan oleh golongan kaya dan hilangnya keyakinan rakyat terhadap demokrasi. Justeru, saya menyokong cadangan diwujudkan undang-undang kewangan politik.

Ia diperlukan, antaranya, untuk menangani penggunaan wang oleh, contohnya, parti politik dan ahli politik. 

Bagi parti, ia melibatkan perbelanjaan pentadbiran peringkat kebangsaan, negeri, kawasan Parlimen/bahagian, Dewan Undangan Negeri dan cawangan (contohnya kampung/taman perumahan); program-program; dan pilihan raya umum (PRU). 

Bagi individu, ia melibatkan perbelanjaannya sebagai ahli/pemimpin parti dari peringkat cawangan sehinggalah kebangsaan; sebagai calon pemilihan parti; sebagai calon PRU; sebagai wakil rakyat; dan sebagai pemegang jawatan tertentu (contohnya, menteri, timbalan menteri, Exco kerajaan negeri, setiausaha politik, pengerusi/ahli lembaga pengarah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan).

Bagi parti, regulasi diperlukan bagi jumlah sebenar yang diperlukan; apakah semangat kesukarelaan tinggi dalam kalangan pemimpin dan ahlinya; apakah sumber pendapatan dan penerimaannya (contohnya, derma ahli dan pihak luar, hasil perniagaan, sewaan aset, wang haram); adakah melibatkan penggunaan jawatan, pegawai, aset dan dana agensi kerajaan; bagaimanakah ia dibelanjakan (contohnya, adakah sampai sepenuhnya pada sasaran); adakah ia diaudit; adakah ia dibahas dan diluluskan secara telus oleh mesyuarat agungnya; dan adakah semua sistem dan proses yang melibatkan kewangannya berintegriti (telus, kebertanggungjawaban).

Bagi individu, berapakah dana diperlukannya; apakah sumber pendapatan dan penerimaannya (contohnya, gaji/elaun, perniagaan, derma dalam dan luar parti, peruntukan parti); adakah menyalahguna jawatan rasmi untuk kepentingan peribadi; adakah menggunakan akaun peribadi, suami/isteri, keluarga, sahabat, proksi atau organisasi; dan adakah terlibat membeli undi dalam pemilihan parti dan kempen PRU. 

Beberapa undang-undang dan peraturan PRU sedia ada juga perlu dipinda.

Contohnya, perarakan hari penamaan calon memerlukan belanja besar. Katakanlah sebuah parti yang bertanding di 222 kawasan Parlimen inginkan 5,000 orang ahlinya berarak di setiap kawasan. Sekiranya ahli-ahlinya keluar secara sukarela, maka ia bukanlah isu. Tetapi, sekiranya ahli-ahlinya mengharapkan peruntukan parti, maka bayangkanlah betapa besarnya perbelanjaan untuk baju, topi, payung, tambang dan makanannya.

Contoh kedua ialah poster (termasuk banting dan papan bil). Sekiranya parti/calon hanya dibenarkan memperagakan bahan-bahan tersebut di kawasan terhad sahaja, bayangkanlah betapa banyaknya dana yang diselamatkan.

Apabila perbelanjaan kempen PRU dikurangkan, iaitu tiada perarakan dan kawasan perang poster dihadkan, ia mengurangkan tuntutan untuk parti/calon dalam menyediakan dana politik, sekali gus mengurangkan masalah politik wang.    

Peraturan perbelanjaan kempen PRU yang sedia ada juga perlu diperbaiki. Contohnya, definisi yang jelas tentang pekerja parti yang diizinkan disediakan elaun (contohnya, makan, duit minyak), supaya tidak termasuk pengundi yang 'dijadikan' pekerja parti, hatta, sebenarnya melibatkan pembelian undi.

Begitu juga siling perbelanjaan calon. Benarkah semua calon Parlimen tidak berbelanja lebih daripada RM200,000?

Sekiranya politik wang tidak dibanteras, ada yang menggunakan wang untuk mendapatkan kuasa, seterusnya menggunakan kuasa untuk mendapatkan lebih banyak wang untuk mendapatkan lebih banyak kuasa. Lingkaran ini berterusan. Sehingga menjadi lingkaran syaitan.   

Politik wang mesti dibanteras segera. Perundangan ialah satu daripada caranya.

Link: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/membanteras-politik-wang-1.411313

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in