Top

Twitter

31-08-2015 09:43

Bangkitlah jiwa merdeka!

TAHUN ini kita menyambut Hari Merdeka dan Hari Malaysia dalam keadaan yang sukar. 

Dalam kalangan rakyat, telah terkumpul rasa marah dan putus asa. Faktornya pelbagai. Tetapi, pokoknya, mereka telah serik dileter, dibodohkan dan dibangsatkan. Pembangkang tidak boleh diharapkan. Justeru, rakyat perlu bertindak. 

Dalam situasi begini, amat penting untuk membangkitkan jiwa merdeka.  

Jiwa merdeka bermula dalam diri sendiri. Sebagai Muslim, saya bersetuju dengan Siddiq Fadil, bahawa jiwa merdeka bermakna “telah bebas dari jiwa hamba, kerana dengan pengesaan Tuhan, bererti secara sedar saya telah menolak pengabdian kepada sesiapa selain ALLAH.”

Sebagai insan merdeka, saya mampu berubah daripada paradigma lama, iaitu hubungan raja-dewa dan hamba antara dua golongan yang berbeza darjat, kepada paradigma baharu, iaitu hubungan kerajaan dan pengundi antara dua golongan yang sedarjat sebagai rakyat dalam sistem demokrasi, yang saksama dari segi undang-undang, tanpa mengira ras, agama, keturunan, tempat lahir dan gender.

Jiwa merdeka memungkinkan kita menilai makna rasmi Merdeka, iaitu bebas daripada penjajahan. Peristiwa-peristiwa menjelang pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 diketuai Tunku Abdul Rahman. Tetapi, kita mengambil masa untuk memahami tarikh kemerdekaan untuk semua rakyat Malaysia. Kerana Sarawak tidak merdeka pada tarikh yang sama. 

Justeru, bermula tahun ini, Hari Merdeka disambut tanpa menyebut tahun ke berapa. Pada 2010, pertama kali kita bercuti pada Hari Malaysia.  

Gerakan perjuangan kemerdekaan kita tidak terhad pada apa yang tercatat dalam buku sejarah rasmi sahaja. Sebenarnya, perjuangan merdeka termasuk juga sumbangan wira-wira yang tak terdendang dan tak ternama. Termasuk mereka yang dianggap 'pemberontak' dan 'haram' oleh penjajah dan sesetengah pemerintah Melayu masa itu.   Ia meliputi wacana yang bernas. Contohnya, debat antara “merdeka penuh” lawan “merdeka separuh” dan idea-idea besar tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy: “Kasihkan watan itu daripada iman”.

Hari ini, kita perlu mengelakkan daripada apa yang disebut Malik Bennabi sebagai menyediakan kelayakan untuk dijajah. Khususnya penjajahan minda. 

Ia berlaku dalam dua keadaan. Pertama, penjajahan minda dari segi pengaruh luar, iaitu idea, budaya, sistem dan kuasa. Ini mudah dikenali.

Dan kedua, dan ini sukar diamati, ialah pengaruh dalaman. Contohnya, melalui undang-undang zalim, dasar eksklusif, kongkongan, manipulasi dan indoktrinasi. Ada yang begitu sistemik dan disokong hujah-hujah yang kelihatan demokratik.  

Ini termasuklah merampas makna merdeka atau pengisian kemerdekaan. Ia dihadkan pada paradigma “harapan pembangunan” semata-mata. Pembangunan tidak salah. Tetapi, ia menjadi masalah, apabila dihalalkan segala kemungkaran, seperti rasuah dan salah guna kuasa, atas nama pembangunan.

Sebaliknya, paradigma lain, contohnya “harapan demokrasi”, diserang. Makna demokrasi disempitkan dengan mengongkong kebebasan bersuara, media dan perhimpunan aman. 

Jiwa merdeka ialah kompas moral Malaysia. Untuk menentukan haluan negara yang lebih baik, hari ini dan esok, ialah dengan melakukan apa yang betul. Antaranya ialah dengan menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Di samping itu, ialah menegakkan
kebenaran dan keadilan, serta lunas undang-undang, integriti, inklusiviti, reformasi institusi dan inovasi.

Kita perlu mematangkan demokrasi. Masalahnya ada yang merampas makna demokrasi. Jiwa merdeka membolehkan kita memahami demokrasi sebenar, iaitu “kerajaan daripada rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat”, bukannya “kerajaan lari (daripada) rakyat, hantuk rakyat, beli rakyat”.

Jiwa merdeka seharusnya menghakupaya kita untuk berpartisipasi menyahut seruan ibu pertiwi; mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran; dengan metodologi yang berasaskan kebijaksanaan, pengajaran dan teladan baik, serta perundingan dan perdebatan yang terbaik.

Jiwa merdeka seharusnya meledakkan sepenuhnya aspirasi, kuasa dan komitmen sebenar rakyat, untuk menggunakan kompas moralnya bagi membina-semula Malaysia yang lebih baik. 
 
MERDEKA!!!

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in