Top

Twitter

20-06-2016 05:42

Pastikan urbanisasi mampan

DARI semasa ke semasa, masyarakat antarabangsa menggubal dasar yang bernas bagi menjadikan dunia ini lebih baik. Kerajaan Persekutuan mendakwa bahawa Malaysia memainkan peranan aktif. Satu masa dulu, peranan kita diiktiraf. Tetapi, hari ini ia berkurangan.

Peranan kita tidak terhad pada penglibatan menteri-menteri atau pegawai-pegawai di mesyuarat-mesyuarat inter-kerajaan sahaja. Dunia semakin menuntut partisipasi semua pihak, termasuk sektor perniagaan dan masyarakat sivil. Tetapi kerajaan kurang mengalu-alukan partisipasi pihak lain. Ini mesti diubah.

Saya menyatakan perkara ini berdasarkan pengalaman dan dalam konteks Sustainable Development Goals 2030– SDG (Matlamat Pembangunan Mampan 2030) yang diluluskan PBB pada 2015. SDG menggantikan Millennium Development Goals 2015– MDG (Matlamat Pembangunan Milenium 2015).

SDG meminta semua negara supaya melaksanakan 17 Objektif, yang menurut Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, “adalah visi bersama buat kemanusiaan… satu senarai perkara yang perlu dilakukan untuk manusia dan planet, dan satu pelan untuk kejayaan.''

Pengalaman melaksanakan MDG menunjukkan bahawa kejayaannya bergantung pada kerjasama semua pihak, dengan peranan penting penggerak-penggerak yang terdekat dengan rakyat, iaitu bandar/bandar raya dan kerajaan tempatan.

Menurut World Cities Report 2016 (UN Habitat), 54% penduduk dunia (70% pada 2050) dan 80% KDNK global adalah di bandar/bandar raya.

Tetapi, pertumbuhan bandar/bandar raya hari ini diliputi budaya keuntungan jangka pendek dan amalan-amalan penggunaan dan pengeluaran yang tidak mampan. Akibatnya, 75% bandar/bandar raya dunia berhadapan masalah kesenjangan pendapatan yang lebih lebar daripada dua dekad lalu.

Sebab itulah SDG mendedikasikan Objektif 11 buat bandar/bandar raya, iaitu “menjadikan bandar/bandar raya inklusif, selamat, kuat dan mampan.''

Bandar/bandar raya dan kerajaan tempatan mampu mencipta kekayaan, pekerjaan dan kemajuan. Justeru, ia berpotensi menjayakan SDG, iaitu melalui tindakan, kepimpinan dan kerjasama tempatan.  

Inilah latar belakang 'Forum Antarabangsa tentang Dasar Urban untuk SDG' anjuran Kerajaan Metropolitan Seoul, CityNet dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik PBB (ESCAP), di Seoul, pada 8-10 Jun 2016.

Ia telah membincangkan peranan bandar/bandar raya dan kerajaan tempatan dalam urbanisasi yang mampan selaras dengan Objektif 11 dan objektif-objektif SDG yang lain.

Forum ini telah meluluskan 'Resolusi Seoul tentang Dasar Urban untuk SDG,' yang mengandungi lima prinsip pelaksanaan dasar-dasar pembangunan mampan untuk bandar/bandar raya, iaitu: kepimpinan kerajaan tempatan dan perancangan bersepadu; partisipasi rakyat sebagai nadi pembangunan mampan; perancangan bernas untuk pembangunan mampan dan inklusif; rakan kongsi pelbagai peringkat; dan perkongsian ilmu sesama bandar/bandar raya.

Resolusi ini akan dipanjangkan kepada Persidangan Perumahan dan Pembangunan Urban yang Mampan PBB (Habitat III) di Quito, Ecuador, pada Oktober 2016.

Habitat III dijangka meluluskan 'Agenda Baru Urban' dengan satu anjakan paradigma. Antara lain, ia dijangka menyentuh soal-soal akses saksama terhadap frasarana fizikal dan sosial, kebudayaan dan keselamatan, memperkasa partisipasi rakyat, ekonomi inklusif dan mampan, berdaya perniagaan dan pekerjaan, dan menangani bencana dan alam sekitar.

Di peringkat nasional, sementara Unit Perancang Ekonomi mengetuai pelaksanaan SDG di peringkat kerajaan, Pakatan Harapan akan memainkan peranan dalam memastikan dan memperkasa partisipasi rakyat dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaiannya.

Antaranya ialah penubuhan Kaukus Ahli Parlimen tentang SDG. Di Pulau Pinang dan Selangor, kami akan mengetuai pelaksanaannya di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Elemen-elemennya telah pun dimulakan.

Contohnya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggalakkan Majlis Perbandaran Seberang Jaya melaksanakan Belanjawan Partisipatif, manakala Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali mahu kerajaan-kerajaan tempatan membangunkan smart city. Institut Darul Ehsan (badan pemikir kerajaan negeri Selangor) pula telah menyiapkan rancangan Reformasi Kerajaan Tempatan.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/saifuddin-abdullah/pastikan-urbanisasi-mampan-1.534105#.V2dr4GU13ho.whatsapp

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in