Top

Twitter

18-07-2016 05:47

Mendepani persempadanan semula

MENURUT Bersih 2.0, 118,774 pengundi telah dipindahkan kawasan Dun mereka. Daripada jumlah tersebut, lebih 40,000 melibatkan pemindahan kawasan Parlimen. Tetapi, alamat mereka tidak berubah.

Ini berlaku akibat 'pembetulan lokaliti' yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Memandangkan kes ini serius, maka, pada 1 Julai 2016, saya menyertai pimpinan Pakatan Harapan, Pas dan PSM serta aktivis-aktivis NGO yang diketuai Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah ke ibu pejabat SPR di Putrajaya menghantar memorandum mendesak SPR memberi penjelasan mengapa ini berlaku.  

Jumlah pengundi yang dipindahkan itu besar dan boleh memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Contoh pemindahan dari Dun ke Dun ialah: dari N13 Sungai Abong (P145 Bakri) ke N12 Bentayan (P145 Bakri): 6,322 pengundi; dari N07 Batang Kali (P94 Hulu Selangor) ke N06 Kuala Kubu Baharu (P94 Hulu Selangor): 5,590 pengundi; dan dari N03 Pemanis (P141 Sekijang) ke N02 Jementah (P140 Segamat): 2,448 pengundi.

Contoh pemindahan dari Parlimen ke Parlimen ialah: dari P191 Kalabakan ke P190 Tawau: 2,742 pengundi; dari P141 Sekijang ke P140 Segamat: 2,694 pengundi; dan dari P107 Subang ke P108 Shah Alam: 1,937 pengundi.

Pembetulan lokaliti ini telah merubah jumlah pengundi dan sempadan kawasan-kawasan Dun/Parlimen. Tindakan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kerana ia umpama melakukan persempadanan-semula yang memerlukan kelulusan Parlimen.

Ia akan menyebabkan pengundi yang terlibat keliru pada hari mengundi kerana daerah mengundinya telah berubah. Ia menyusahkan wakil-wakil rakyat dan ahli-ahli majlis PBT dalam menjalankan tugasannya.

Memorandum kami itu mendesak SPR: menjelaskan alasan-alasan spesifik mengenai pemindahan tersebut, supaya pengundi dapat menilainya; dan memindahkan-semula pengundi yang terlibat ke kawasan-kawasan Dun/Parlimen mereka yang asal.

Hari berikutnya, saya menghadiri Seminar Persiapan Persempadanan semula yang dianjur bersama oleh Majlis Peguam dan Tindak Malaysia.

Seminar itu menjadikan persempadanan semula Sarawak pada 2015 sebagai kajian kes. Persempadanan semula itu telah menambah jumlah kawasan Dun daripada 71 kepada 82. Satu saman telah dibuat terhadap SPR di mahkamah tinggi oleh sekumpulan pengundi yang tidak berpuas hati dengan cara persempadanan semula itu dilaksanakan. Malangnya, saman itu ditolak Mahkamah Persekutuan. Persempadanan semula itu akhirnya diluluskan oleh Parlimen yang dikuasai BN.

Menurut Ahli Jawatankuasa Majlis Peguam, Roger Chan Weng Keng, matlamat seminar itu ialah untuk menyediakan rakyat/pengundi dalam menghadapi proses persempadanan semula yang akan datang, iaitu, dengan belajar daripada kes Sarawak, supaya sekiranya perlu dibuat bantahan atau saman, maka, kali ini, ia akan berjaya.

Mengapakah rakyat/pengundi perlu bersedia dan berpartisipasi dalam proses persempadanan-semula? Kerana kita ingin memastikan yang ia berjalan dengan betul.

Masalahnya ialah kerana BN telah beberapa kali meminda peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan persempadanan semula yang menyebabkan berlakunya salah pembahagian (malapportionment) dan gerimander (gerrymandering) secara berleluasa dan memihak kepada BN.

Satu lagi masalah ialah kerana keyakinan rakyat terhadap SPR semakin merosot. Menurut Merdeka Center, pada 2008, 77 peratus rakyat berpuas hati dengan kerja SPR. Pada 2012, ia 51 peratus sahaja. Dari segi penyelewengan dalam pilihan raya pula, pada 2008, 36 peratus rakyat menganggap penyelewengan berlaku. Pada 2012, ia meningkat kepada 49 peratus.

Oleh itu, adalah amat mustahak untuk kita memainkan peranan aktif dalam proses persempadanan semula. Dan sekiranya persempadanan semula tidak berlaku menjelang PRU14, maka, kita harus sedar bahawa “pembetulan lokaliti” oleh SPR adalah sebenarnya persempadanan semula melalui pintu belakang yang akan menjejaskan keputusan PRU14. 

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/mendepani-persempadanan-semula-1.542298

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in