Top

Twitter

01-08-2016 10:32

Mengharap kejayaan Turki ketiga

SEBAIK mengetahui tentang kudeta tentera (15 Julai 2016), saya menghubungi pakar Turki, Prof Datuk Dr Muhamad Redzuan Othman. Supaya saya mempunyai pandangan terdidik tentang kudeta itu. Ini penting memandangkan wujudnya naratif anti gerakan Islam, demokrat Muslim dan Erdogan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan telah berjaya membangunkan-semula Islam dan ekonomi Turki. Beliau berusaha meletakkan Turki sebagai pemain global yang penting, seperti semasa Khulafa Uthmaniyah, iaitu sebelum era Kemal Artaturk. Menurut Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, sejak 2002, rakyat Turki memilih Erdogan dan AKP untuk membina Turki baharu yang stabil, makmur dan moderat – “Turki Ketiga” – yang berbeza daripada Turki Uthmani dan Turki Kemali.    

Ada yang membenci Erdogan kerana beliau berpendirian sendiri, tidak mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar dan kritikal terhadap Israel; membantu rakyat Arakan, Gaza, Somalia dan Syria; dan beliau/AKP menjadi model demokrat Muslim dan gerakan Islam progresif.

Ketika kudeta masih berlaku, pada 8 pagi, 16 Julai (waktu Malaysia) Ketua Pembangkang dan Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan Pakatan Harapan. Kenyataan itu mengutuk kudeta tentera, bersolidariti dengan Erdogan dan rakyat Turki, mendoakan keselamatan rakyat Turki dan mendesak kudeta dihentikan segera.

Pada 8.30 pagi, Awani menyiarkan liputan yang baik, termasuk temu bual telefon dengan Prof Redzuan, yang meramalkan kudeta akan berakhir dengan kegagalan ketika fajar menyingsing di Turki. Ramalannya ternyata tepat.

Pada 21 Julai, Prof Redzuan dan Ahmad Azam Ab Rahman, Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan NGO Dunia Islam (UNIW) yang beribu pejabat di Istanbul, memberikan penerangan terperinci tentang kudeta yang gagal itu dalam forum anjuran Unisel-Institut Darul Ehsan (IDE).

 Rakyat Turki telah menolak peranan tentera dalam politik, yang keutamaannya hanyalah untuk mempertahan sekularisme. Masalahnya, dan saya bersetuju dengan Ahmet T Kuru, sekularismenya bukannya “sekularisme pasif”, iaitu pemisahan negara dan agama, tetapi mengizinkan kehadiran agama dalam ruang awam, tetapi, ia “sekularisme asertif” (keras), iaitu doktrin Kemalisme yang anti-agama (Islam) dan mengharamkan kehadiran agama dalam ruang awam.

Imej ikonik Erdogan bercakap telefon adalah signifikan. Tetapi, sekiranya beliau tidak diterima sebagai pemimpin Islamik dan demokratik, mana mungkin masjid-masjid melaungkan azan mengajak rakyat ke jalan raya dan mereka, yang berjuta-juta itu, berani berhadapan dengan kereta kebal dan senapang.

Keadaan sebenar perlu difahami. Fethullah Gulen mempunyai strategi rahsia, yang bermula dengan pendidikan dan diakhiri dengan mendapatkan kuasa; menyelinapi kehakiman, akademia dan media; dan terlibat dalam percubaan-percubaan menggulingkan Erdogan sebelum ini.

Kawalan terhadap media sosial tertentu ialah kerana ia digunakan menyebar rahsia besar keselamatan negara. Perlu melihat 650,000 orang yang ditangkap junta tentera pada 1980 sebelum menyimpulkan bahawa tangkapan Erdogan adalah terbesar dalam sejarah.

Mengapa kini, kualiti pegawai-pegawai Turki di NATO dipersoalkan, sedangkan dahulu, ini tidak timbul? Mengapa perancang utama kudeta ialah jeneral Turki di pengkalan udara Incerlik yang digunakan US? Mengapa sebahagian pemimpin Barat lambat mengutuk kudeta dan memberikan sokongan hambar sahaja kepada Erdogan?

Kita mahu Erdogan/AKP berjaya. Dukungan ini bukannya emosional atau tak-rasional. Erdogan tidak sempurna. Kita kritikal, tetapi tidak berat sebelah atau begitu cepat melabelnya diktator. Ada beza antara kritik destruktif dengan kritik konstruktif.

Sebab itu, pada 18 Julai, delegasi Pakatan Harapan bertemu Duta Turki ke Malaysia. Mereka menyampaikan kebimbangan-kebimbangan kita dan menyarankan supaya Erdogan meneruskan pendemokrasian serta menegakkan undang-undang dan kebebasan.

Kita terus mengikuti perkembangan Turki, contohnya, perpaduan antara AKP dan tiga parti pembangkang terbesar (CHP, MHP dan HDP).

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in