Top

Twitter

15-08-2016 06:25

Anwar ikon perjuangan mahasiswa

10  Ogos lalu ialah hari lahir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-69. Kerana beliau tahanan politik, maka, ia disambut di penjara. Pada malamnya, saya menyertai isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, keluarganya dan kira-kira 500 penyokongnya meraikannya di depan penjara Sg Buloh. Kami berucap, berpuisi, menyanyi dan memotong kek hari jadi.

Sebelum giliran saya, aktivis mahasiswa Anis Syafikah (penganjur demonstrasi #TangkapMO1 di Dataran Merdeka pada 27 Ogos ini) berucap. Beliau menghujah tentang betapa zalimnya keadaan, di mana pejuang rakyat, Anwar, merengkok di penjara sedangkan perompak rakyat, Najib, berseronok di Putrajaya.

Memandangkan ramainya mahasiswa/belia pada malam itu, dan teruja dengan ucapan Anis, dan kerana dua hari kemudiannya (12 Ogos) adalah Hari Belia Antarabangsa, maka, saya memilih untuk berucap tentang Anwar sebagai bekas pejuang mahasiswa/belia.

Anwar diperkenalkan kepada saya oleh senior di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semasa Sudut Pidato pada 1975. Ketika itu Anwar Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan dipenjarakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana demonstrasi bersolidariti bersama petani-petani Baling yang menderita miskin, pada hujung 1974.

Beliau bekas pelajar MCKK. Pada 1968-1971, beliau menuntut di Universiti Malaya dan menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pada 1971, beliau mengasas-bersama Abim.

Anwar berperanan pivotal memberi nafas baru dan kepemimpinan unik terhadap gerakan mahasiswa/belia di kampus, dalam masyarakat, di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Beliau terkenal dengan kekentalan keyakinan dan tindakannya yang dipandu kekuatan idealisme, aktivisme dan intelektualisme. 

Suaranya tentang “memperkasa bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu”, “gelombang kebangkitan Islam”, “jurubicara umat”, “ejen perubahan”, “yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin” dan “menegakkan kebenaran dan keadilan” disambut hangat para mahasiswa/belia dan rakyat.

Beliau memperjuangkan bahasa kebangsaan sebagai medium pengajaran di universiti, mendesak agar mahasiswa diizinkan berpolitik dan mengetuai NGO-NGO menentang cadangan kerajaan mengetatkan Akta Pertubuhan yang akan mengongkong suara rakyat.   

Anwar menjadi tokoh muda nasional. Di samping itu, beliau juga dihormati di pentas antarabangsa. Pada 1975-1982, beliau anggota pimpinan Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY). Pada 1970-1971, beliau anggota panel penasihat belia kepada Setiausaha Agung PBB.

Beliau telah menonjolkan ciri demokratnya dengan mengartikulasi prinsip-prinsip demokratik, perwakilan dan berdikari. Sebagai anggota pimpinan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), beliau dikenali sebagai pemimpin-intelek Muslim yang moderat dan progresif. Beliau juga terkenal kerana menganjurkan toleransi agama dan keharmonian hidup bersama antara pelbagai bangsa dan agama.  

Baginya, ilmu dan pendidikan adalah premium. Ketika mahasiswa, beliau menjalankan kempen kesedaran bagi meningkatkan taraf pendidikan pelajar-pelajar luar bandar dan miskin bandar. Sebaik bergraduasi, beliau menubuhkan Yayasan Anda Akademik, sekolah swasta-kebajikan bagi menyediakan peluang kedua bersekolah menengah untuk pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang kemampuan. Beliau menerbitkan majalah Potensi (SPM), Diskusi (STPM) dan Panji Masyarakat (sosio-politik). 

Beliau menjuarai sistem pendidikan Islam yang moden dan bersepadu. Maka, lahirlah Taski Abim, yang diikuti Seri dan Semi (sekolah rendah dan menengah), sehingga, kini, Dar al-Hikmah.

Anwar ikon perjuangan mahasiswa/belia. Sehingga hari ini, mahasiswa/belia sentiasa berada dalam pusat mindanya. Beliau amat memahami akan pentingnya pemimpin pelapis. Sebab itulah beliau melahirkan sekian ramai ahli politik muda Keadilan, termasuk sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Justeru, adalah bertepatan sekali untuk kita mendedikasikan Hari Belia Antarabangsa 2016 kepada Anwar.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/anwar-ikon-perjuangan-mahasiswa-1.552162

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in