Top

Twitter

26-09-2016 05:35

Bantah persempadanan semula

PERSEMPADANAN semula oleh SPR, bermula minggu lalu berhadapan dengan bantahan paling kuat dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Ini kerana rakyat semakin marah dengan sistem pilihan raya yang sedia ada.

Lim Hong Hai dan Ng Chak Ngoon menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah dipinda beberapa kali, tetapi ia tidak menjadikan sistem pilihan raya kita semakin baik. Sebaliknya, ia menjadi semakin buruk. Kajian-kajian Merdeka Center menunjukkan majoriti rakyat tidak lagi mempercayai SPR.

Menurut Tindak Malaysia, SPR memanipulasi persempadanan semula melalui 'salah pembahagian' dan 'gerimander' yang menghasilkan keputusan pilihan raya yang tidak melambangkan suara rakyat. Peratus kerusi yang dimenangi Perikatan/BN dalam PRU 1964 hingga 2013 jauh mengatasi peratus undi yang diperolehnya. Pada PRU13, BN menang 47 peratus undi sahaja, tetapi meraih 60 peratus kerusi Dewan Rakyat. Sebenarnya, kalau dikumpul kerusi-kerusi yang berpengundi kecil, BN memenangi majoriti mudah 112 kerusi dengan 25 peratus undi sahaja!

Menurut Bridget Welsh, sejak 2007, wacana tentang reformasi pilihan raya semakin meningkat. Beliau meneliti empat perkara utama dan semuanya menunjukkan bahawa sistem memberi kelebihan kepada BN dan mengurangkan integriti pilihan raya.

Yang paling utama ialah persepsi bahawa SPR berat sebelah dan kurang profesionalisme. Ada bekas pimpinan SPR mengaku pernah membuat beberapa persempadanan semula bagi menguntungkan Umno. Hari ini, pengerusinya rapat dengan Ketua Penerangan Umno.

Kedua, ialah pengurusan pendaftaran pemilih yang meragukan. Ramai, contohnya di Sabah dan Sarawak, tidak berdaftar. Sebaliknya, ada pula pendatang asing yang dibenarkan mengundi, contohnya, di Sabah. Sebelum PRU13, 'pengundi hantu' menjadi isu. Desakan-desakan supaya senarai pemilih dibersihkan tidak diendahkan. Ini ditambah lagi dengan pemindahan pengundi oleh SPR, contohnya, melibatkan lebih 118,000 pengundi pada Julai lalu.

Ketiga, ialah padang permainan yang tidak rata. Wang yang lebih, termasuk kempen yang tidak dipantau, politik wang (membeli undi) dan menyalah guna sumber-sumber kerajaan untuk berkempen, telah menjadi norma. Ditambah dengan media arus perdana yang tidak bebas, maka, kerajaan sedia ada mendapat banyak kelebihan.

Akhirnya ialah persoalan kerangka sistem pilihan raya itu secara keseluruhannya: sistem pilihan raya, pentadbiran kawasan-kawasan dan perundangannya. Meskipun BN kalah undi popular PRU13, tetapi sistem 'pertama-melepasi-tiang' yang bersifat pemenang akan menang semua, telah membolehkannya menjadikan kerajaan. Kini, semakin ramai yang ingin menukarnya kepada sistem 'perwakilan-proposional' yang bersifat lebih inklusif.

Welsh menyimpulkan bahawa Malaysia diklasifikasikan sebagai pilihan raya autoritarian kompetitif, atau separuh-demokratik/separuh-autoritarian. Pilihan raya diadakan secara terbuka dan berkala, tetapi ia tidak bersih dan adil.

Mengapa mesti membantah? Kerana persempadanan semula ini salah, buruk, tidak berperlembagaan dan tidak adil. Sama seperti yang dulu-dulu, malah - yang terburuk.

Siapa boleh membantah? Tiga pihak: kerajaan negeri, PBT dan sesuatu kumpulan 100 orang pemilih yang terkesan.

Pada 21 September 2016, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Azmin Ali telah menulis kepada SPR meminta diadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan tentang justifikasi dan metodologi persempadanan semula ini. PBT-PBT Selangor juga akan melakukan sesuatu. Dua hari sebelumnya, parti-parti Pakatan Harapan telah mengumumkan akan menggerakkan anggota-anggotanya untuk membentuk kumpulan-kumpulan 100 orang yang membantah itu.

Majlis Peguam sedang menyediakan garis panduan membantah. Tindak Malaysia melatih kumpulan-kumpulan tersebut. Bersih menganjurkan 'Bersih 5' pada 19 November 2016. Dan, ya, komponen BN, MCA dan Gerakan juga membantah.

Pada masa lalu, bantahan ini tidak berkesan. Tetapi, kali ini, berasaskan kejayaan himpunan-himpunan Bersih, saman terhadap persempadanan Sarawak yang hampir-hampir berjaya, dan ramainya dan berkualitinya pihak-pihak yang membantah, dengan berkoordinasi, maka, apa-apa sahaja boleh berlaku.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/bantah-persempadanan-semula-1.566158

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in