Top

Twitter

11-10-2016 13:03

Membentuk gabungan pembangkang

DALAM menghadapi PRU14, antara persoalan besarnya ialah adakah akan wujud pertembungan antara dua gabungan seperti dalam PRU13? PRU13 telah menyaksikan hampir sempurnanya sistem dua gabungan – BN dan PR.

Menurut Johan Saravanamuttu, Lee Hock Guan dan Mohamed Nawab Mohamed Osman dalam bukunya, Coalitions in Collision: Malaysia’s 13th General Election, dalam PRU13, BN kehilangan legitimasi politik kerana kalah undi popular buat kali pertama dalam sejarah negara. PRU13 juga merubah konfigurasi politik Malaysia, iaitu model consociational diganti oleh model “dominan-Bumiputera”.

Kita memang perlu menghentikan model lama itu kerana ia berlandaskan politik ras. Tetapi, ia tidak harus diganti dengan model dominan-Bumiputera kerana landasannya adalah politik ras yang lebih ekstrem. Ia sepatutnya diganti dengan model centripetalism yang multiras/budaya, inklusif, moderat dan progresif. Ia model ke hadapan bagi rakyat yang mengimpikan masa depan Malaysia yang lebih baik – Negara Ulung – yang maju, makmur dan bahagia, dan dibina atas landasan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Ia sesuatu yang sedang digerakkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan PR.

 

Malangnya, model dominan-Bumiputera kelihatan menjadi dan mendapat ruang yang yang lebih. Walaupun ada pimpinan Pas (Datuk Mustafa Ali), menyatakan ia tidak bersama Umno dalam PRU14, tetapi, selagi Presidennya tidak mengesahkannya, apa pun mungkin berlaku. Umno pula semakin ke kanan. Persempadanan semula Sarawak pada 2015, dan yang kini dijalankan di Semenanjung dan Sabah, meningkatkan jumlah kawasan pilihan raya yang berasaskan ras dan mengurangkan kawasan yang multiras. Ia umpama asalkan calon-calon Melayu-Muslim/Bumiputera BN akan menang, tiada yang kisah apa akan terjadi pada calon-calon lain. Patutlah MCA dan Gerakan tidak puas hati!   

Tidak. Ini bukan soal siapa menang PRU14. Ini soal yang lebih besar. Iaitu soal negara akan diperintah kerajaan Persekutuan yang dominan-Bumiputera. Lebih buruk lagi ialah Melayu-Muslim/Bumiputera adalah kerajaan, manakala Cina/bukan-Muslim adalah pembangkang – sesuatu yang mesti dielakkan! Politik kita sudah lama didominasi isu-isu ras dan agama. Kita tidak boleh terus begini. Kita boleh buat lebih baik daripada ini.

Satu-satunya cara menghalang merebaknya model dominan-Bumiputera ialah dengan pembangkang memenangi PRU14 dan membangunkan model centripetalism. Cara terbaik mencapainya ialah dengan pembangkang berhadapan BN dalam pertandingan satu-lawan-satu.

Yang ideal ialah semua calon pembangkang bertanding menggunakan satu logo. Sehingga konsensus tercapai, proses membentuk gabungan pembangkang, seperti saranan Datuk Seri Anwar Ibrahim, haruslah praktikal dan mengambil kira semua faktor. Pendekatannya perlu bijaksana, termasuk melihat beberapa bentuk “gabungan” dan “kerjasama” seperti berikut:

PH menambah parti anggota.

PH (sama ada bertambah anggota atau tidak) membentuk gabungan dengan Bersatu.

PH membentuk gabungan dengan Bersatu dan Pas.

PH membentuk gabungan dengan (Bersatu + Pas).

PH membentuk gabungan dengan Bersatu dan bekerjasama dengan Pas.

PH bekerjasama dengan (Bersatu + Pas)

PH bekerjasama dengan Bersatu dan Pas.

Di peringkat negeri, bentuk yang sama boleh diguna pakai atau diimprovisasi.

 Perundingan ini bukanlah mudah dan memakan masa. Ada yang menyatakan kita patut berunding sehingga saat-saat akhir. Tetapi, ada yang menyatakan kita perlukan had masa, kerana kita perlukan masa untuk bersiap menghadapi pilihan raya.

 Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang juga perlu memulakan perbincangan dasar-dasar alternatif, bukan sekadar manifesto, untuk dilaksanakan sebaik memenangi Putrajaya. Penggubalan dasar-dasar akan mematangkan parti-parti pembangkang supaya seimbang antara sifat “parti berorientasi-personaliti” dengan “parti berorientasi-polisi”. Kerangka dasar ini juga boleh menjadi “kompas politik” yang memandu perundingan membentuk gabungan pembangkang.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/saifuddin-abdullah/membentuk-gabungan-pembangkang-1.571106

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in