Top

Twitter

02-01-2017 11:31

Memperbaharu komitmen demokrasi

2017 ialah tahun demam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam dua PRU lalu, rakyat telah memberi sokongan besar kepada pembangkang. BN dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dalam PRU12 dan PRU13 dan dalam PRU13, pembangkang menang 52 peratus undi popular. Bagi PRU14, pembangkang sedang membentuk gabungan yang lebih besar dan akan bertanding sebagai “kerajaan menunggu”.   

PRU14 bukan sekadar soal menukar kerajaan. Lebih penting lagi, ia adalah soal transisi tulen, daripada politik lama kepada politik baharu dan daripada kerajaan rasuah dan kleptokrasi kepada governans bersih dan baik.

Apa yang Malaysia perlukan ialah reformasi tulen yang dipimpin reformis-demokrat tulen yang siap dengan Agenda Reformasi yang demokratik.

Dalam konteks ini, saya teringat buku Ted Piccone, Five Rising Democracies. Piccone menulis tentang lima demokrasi yang sedang melonjak: India, Brazil, Africa Selatan, Turki dan Indonesia – IBSATI, iaitu negara-negara yang timbul daripada penjajahan, aparteid, dan/atau diktator tentera, tetapi sekarang, mengakar dalam demokrasi berperlembagaan, tentera dikawal rakyat dan dasar-dasar ekonomi berorientasi-pasaran yang telah mengangkat keluar berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan.

Walaupun pembebasan politik dan ekonomi mereka berhadapan dengan beberapa halangan, mereka kelihatan tidak akan berpatah balik daripada menuju demokrasi yang lebih mendalam.

Kelima-lima negara itu telah keluar daripada sistem yang tertutup dan autoritarian kepada sistem politik dan ekonomi yang terbuka, berperwakilan dan berintegriti; telah meningkatkan mutu kehidupan rakyatnya dalam pelbagai segi; dan semua ini diraih dalam masyarakat yang majmuk bahasa, ras dan agama.

Kejayaan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan manusia dapat dilihat dengan jelas. Jika dibandingkan dengan purata lima-tahun KDNK per kapita dalam tempoh masa sebelum transisi, pertumbuhannya pada 2013 ialah pada purata 279 peratus.

Brazil meraih pertambahan KDNK per kapita sebanyak enam kali ganda, India empat kali ganda, Indonesia 3.5 kali ganda, Afrika Selatan dua kali ganda dan Turki 2.8 kali ganda. Simpanan tunai bertambah dan hutang negara berkurangan (kecuali India), manakala inflasi menurun atau turun-naik pada band yang rendah.

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan, dan dengan latar belakang sejarahnya, maka, ini bukanlah tidak dijangka. Kadar pertumbuhan yang cemerlang itu tidak diikuti dengan menurunnya masalah pengangguran dan kesenjangan. Justeru, kelima-lima negara meningkatkan perbelanjaan kebajikan sosial, kesihatan, bantuan makanan dan bantuan wang tunai bersyarat.

Kombinasi transisi kepada pembebasan politik dan ekonomi, dan perbelanjaan kebajikan sosial tersebut telah menghasilkan peningkatan dalam indikator-indikator pembangunan manusia, contohnya, menurunnya kadar kemiskinan dan kematian bayi, dan meningkatnya jangka hayat dan kadar literasi.

Kita menyedari bahawa di setiap negara tersebut, wujud beberapa penurunan dari segi rekod kebebasan sivil, keterbukaan dan akauntabiliti.

Kita berharap mereka akan meneruskan komitmen terhadap pembangunan demokratik yang mampan.

Dengan kemunculan lima demokrasi ini, negara-negara demokrasi yang lebih maju tidak lagi boleh mendakwa yang mereka sahaja yang menjuarai demokrasi atau demokrasi mereka adalah terbaik.

Setiap masyarakat demokratik mesti melipatgandakan rekod demokrasi masing-masing, mendengar dan belajar daripada pengalaman lima negara ini, dan menyokong dan mempertahankan kejayaannya.

Kita berharap negara-negara IBSATI akan terus berjaya dalam pendemokrasiannya. Kerana ia baik untuk rakyatnya dan boleh diteladani oleh negara-negara lain. Ia akan sama ada menjadi kajian kes, atau tekanan, supaya negara-negara lain akan turut bergerak ke arah transisi demokrasi tulen.

Kelima-lima negara itu melalui transisi pada tarikh-tarikh yang berlainan. Brazil: 1985. India: 1991. Indonesia: 1998. South Africa: 1994. Turkey: 2002.

Marilah jadikan PRU14 sebagai tarikh transisi tulen Malaysia!


http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/saifuddin-abdullah/memperbaharu-komitmen-demokrasi-1.605403

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in