Top

Twitter

06-03-2018 20:29

Memerangi budaya takut PRU14

PADA 1 Mac 2018, Institut Darul Ehsan (IDE) telah menganjurkan Forum Demokrasi bertajuk “Memerangi Budaya Takut Dalam PRU14” dengan panelisnya Dr Hamdan Mohd Salleh (Unisel), Maria Chin Abdullah (Bersih 2.0) dan saya.

Pengantarnya disampaikan CEO IDE Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman. Moderatornya Fahmi Samsudin. Dalam forum ini, premis saya ialah keputusan PRU14 akan ditentukan oleh undi Melayu.

Dalam konteks ini, bagi Umno/BN, tidak mengapa sekiranya majoriti pengundi bukan-Melayu menyokong PH. Apa yang penting ialah mendapatkan sebanyak-banyaknya undi Melayu dan memenangi majoriti kawasan Melayu.

Persempadanan semula menunjukkan gerrymander teruk yang menyebabkan jumlah kerusi majoriti Melayu bertambah dan kerusi bercampur berkurang. Supaya Umno/BN menang. Keputusan PRU13 menunjukkan Umno/BN menang kerusi-kerusi Parlimen yang kecil jumlah pengundinya dan majoritinya ialah pengundi Melayu.

PH pula perlu mempertahankan sokongan pelbagai kaum yang diterimanya selama ini, dan melonjakkan sokongan pengundi Melayu, khususnya di kawasan-kawasan Felda dan luar bandar.

Bagi Umno/BN, untuk mengekalkan sokongan Melayu-Islam, strateginya ialah ‘budaya takut’. Bagi PH, cabarannya ialah memerangi strategi tersebut.

Umno/BN telah menggunakan strategi ini sebelum pun demam PRU14. Menurut Laporan Human Rights Watch (HRW) 2016: “Budaya Takut yang Makin Mendalam: Menjenayahkan Kebebasan Bersuara Secara Aman di Malaysia”, sepanjang tahun lalu, penghukuman kerajaan terhadap kebebasan bersuara telah melampaui tindakan-tindakan ke atas aktivis-aktivis dan ahli-ahli politik, kerana kini, ia telah meliputi rakyat biasa di media sosial.

Menjelang PRU14, Umno/BN akan melengkapkan pattern budaya takut. Naratifnya ialah ‘politik ras bercampur agama’. Aktor-aktor dan institusi-institusi tertentu akan dilibatkan secara langsung atau tidak langsung, dan ada kalanya tanpa menyedarinya.

Mereka ialah parti-parti BN, badan kerajaan/pegawai, institusi/pegawai agama, NGO hak asasi Melayu dan beberapa individu. Undang-undang drakonian akan digunakan.

Dua surat khabar Melayu akan digunakan. Menurut Mohd Azizuddin Mohd Sani, dalam PRU13, 108 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi BN datang dari kawasan luar bandar di mana sumber maklumat utama datang daripada surat khabar yang dikawal pemerintah.

Strategi utama Umno/BN dalam PRU14 ialah memutar kebencian. Ia melibatkan ucapan kebencian (disampai oleh sesuatu pihak) dan mangsa kebencian terprovokasi (oleh pihak yang menerima).

Justeru, usahlah terkejut sekiranya, dalam kes Indira Ghandi, mangsa sebenar (anak) ditenggelamkan, dan tiba-tiba timbul mangsa terprovokasi yang dilakonkan, iaitu umat Islam.

Umno/BN akan menggunakan naratif tertentu.

Pertama, ‘Melayu tidak selamat’. Contohnya:

1. Lim Kit Siang jadi PM (sedangkan PH umum Tun Mahathir calon PM).

2. DAP dominasi PH (sedangkan PH gabungan saksama)  

3. PH akan hancurkan Melayu (sedangkan PH mendukung peruntukan-peruntukan Perlembagaan tentang kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu; dan akan memperbaiki Felda, Mara dan Tabung Haji)

Kedua, ‘Islam diserang’. Contohnya:

1. PH liberal (sedangkan liberal elemen penting Rukun Negara).  

2. PH anti-Islam (sedangkan PH amalkan maqasid al-syariah).

Dan ketiga, bersifat umum tetapi dengan sasaran Melayu-Islam. Contohnya:

1. Kerajaan akan tahu mana-mana kaki tangan awam yang mengundi pembangkang.

2. Guru-guru yang menyokong pembangkang akan diambil tindakan.

3. Media yang memberi laporan baik kepada pembangkang akan dihukum.

4. Akan berlaku huru-hara/keganasan, jadi, jangan keluar mengundi.

5. #UndiRosak/Boikot.

6. Tun Mahathir tidak akan lepas jawatan PM kepada Anwar Ibrahim.

7. Anwar sebagai PM dan Dr Wan Azizah sebagai TPM adalah nepotisme paling teruk.

Satu-satunya cara memerangi budaya takut oleh Umno/BN ialah dengan memperkukuhkan penghayatan terhadap proses demokrasi, meningkatkan kepercayaan terhadap Agenda Reformasi, mengapresiasi kejayaan kerajaan PH di Selangor dan Pulau Pinang, dan berani mencipta tsunami Rakyat.

*Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan Pengarah (Strategik dan Pembangunan Masyarakat) Institut Darul Ehsan. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in