Top

Twitter

06-05-2018 20:28

Tumpuan kepada anak muda

KUANTAN - Hala tuju masa depan anak muda Indera Mahkota menjadi agenda utama Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengatur usaha memperkasakan anak muda dalam kawasan berkenaan di semua peringkat.

Agenda itu diberi keutamaan dan beliau melihatnya melalui  pelbagai perspektif seiring dengan keperluan semasa golongan tersebut meliputi aspek pendidikan, sukan, kebudayaan dan sosial.

Justeru, sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan anak muda, mantan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga calon PKR Parlimen Indera Mahkota itu mempunyai pendekatan tersendiri dalam merealisasikan harapan anak muda di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada PRU14.

Antara agenda yang diberi keutamaan beliau adalah aspek peluang kerjaya, pendidikan dan kemahiran dengan tawaran  Manifesto Harapan yang menawarkan pendidikan percuma hingga ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Saifuddin berkata, beliau ingin melihat anak muda khususnya golongan pelajar di Indera Mahkota juga dapat manfaat daripada tawaran itu secara optimum.

Dalam mencapai matlamat itu, katanya, golongan pelajar perlu dibantu dengan pendekatan lebih menyeluruh terutama dalam menentukan pilihan dan  hala tuju pendidikan mereka di peringkat lebih tinggi.

“Kita mahu lebih ramai pelajar dapat melanjutkan pelajaran hingga ke universiti,  bagaimanapun lazimnya ada  yang terkandas disebabkan lemah dalam penguasaan mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

“Justeru saya lihat masalah ini perlu diatasi dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk belia tempatan melalui penganjuran program khas khas untuk meningkatkan penguasaan dalam tiga mata pelajaran penting ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut memberi tumpuan kepada anak muda yang mungkin kurang minat dengan akademik dengan membantu dan menggalakkan mereka meneruskan pengajian  dalam bidang kemahiran.

“Kita perlu bantu mereka dari awal dengan mendedahkan golongan ini kepada peluang-peluang pengajian kemahiran yang ada termasuk kolej vokasional, institusi kemahiran yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan sebagainya.

“Peluangnya banyak cuma mungkin ramai yang buntu dan tidak mempunyai  hala tuju jelas bila gagal dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Selain itu, katanya, anak-anak muda di Indera Mahkota yang berpotensi dalam sukan perlu dibantu dengan mendedahkan  mereka dan ibu bapa terhadap  peluang-peluang pengajian di IPT  dalam aliran sukan.

Selain itu, Saifuddin melihat anak muda juga perlu dibawa untuk mendekati dan mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti melalui program Pemuda Masjid.

“Di Indera Mahkota ada 30 masjid dan saya lihat ia boleh dimanfaatkan untuk keperluan anak muda di sini.

“Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan bukan sahaja program ibadat dan keagamaan, malah masjid juga boleh dijadikan pusat kemasyarakatan dengan menerapkan konsep dakwah secara bijaksana untuk menarik anak muda,” katanya.

Menurutnya, wakil anak muda perlu berada dalam barisan ahli jawatankuasa masjid untuk menjayakan hasrat itu nanti.

Dalam pada itu. dalam aspek kebudayaan juga perlu ada platformnya justeru beliau merancang untuk menjadikan Sabtu pertama setiap bulan sebagai Hari Budaya untuk merancakkan kembali aktiviti itu selain sebagai satu tarikan untuk Indera Mahkota.

Source: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tumpuan-kepada-anak-muda-1.830782

Facebook

Buku

On Lead

Lain-Lain

Sign in